Kempen kesedaran HIV AIDS dilancar

Kempen kesedaran HIV AIDS dilancar

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Untuk memberi peluang kepada orang ramai mengetahui fakta HIV agar dapat menghindarinya, sekali gus mengurangkan kes jangkitan dalam kalangan masyarakat umum, Majlis AIDS Brunei Darussalam dengan kerjasama Bank Standard Chartered (SCB) telah mengadakan Kempen Reben Merah: R.E.D (Re-educate, Empower and Detigmatise).

Pelancaran kempen di Kompleks Membeli-belah Mabohai, di sini, hari ini dan disempurnakan oleh Presiden Majlis AIDS Brunei Darussalam, Awang Iswandy bin Ahmad, Ketua Urusan Korporat, Jenama dan Pemasaran, SCB, Marilyn Graeme dan Pegawai Perubatan, Pusat Promosi Kesihatan, Dr. Hajah Norol-Ehsan Haji Abdul Hamid.

Kempen ini juga diadakan sebagai platform interaktif untuk orang ramai bercakap mengenai HIV AIDS dan mengingati akan kepentingan meningkatkan kesedaran tentang penyakit tersebut. Selain itu, ia juga membantu untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai HIV AIDS dan penyakit-penyakit yang lain serta memahami bagaimana HIV merebak, langkah pencegahan dan realiti kehidupan dengan HIV hari ini; untuk menggunakan pengetahuan yang ada bagi menjaga kesihatan sendiri dan kesihatan orang lain.

Dalam temu bual bersama media selepas majlis itu, Awang Iswandy berkata jangkitan HIV AIDS dilaporkan meningkat dua kali ganda berbanding tahun lepas dalam laporan yang dikeluarkan pada 1 Disember lalu.

Sebanyak 24 kes terbaru jangkitan HIV AIDS dilaporkan ke Kementerian Kesihatan berbanding tahun lalu, hanya 10 jangkitan dilaporkan di negara ini, yang menurutnya, peningkatan tersebut ada baik dan buruknya.

“Kebaikannya ialah orang ramai mula sedar dan membuat pemeriksaan secara rasmi manakala keburukannya pula adalah peningkatan dua kali ganda dalam setahun sangat membimbangkan,” ujarnya.

Ditanya mengenai perancangan agensi masing-masing bagi menangani peningkatan jangkitan tersebut, Marilyn menjelaskan mereka akan terus menyokong Majlis AIDS Brunei dalam apa jua aktiviti.

“Di samping terus memberikan pendidikan mengenai HIV AIDS kepada belia-belia muda, SCB juga ingin bekerjasama dengan mana-mana kementerian untuk terus memberikan kefahaman dan kesedaran mengenai HIV AIDS dan masalah isu-isu remaja yang lainnya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Dr. Hajah Norol-Ehsan pula menjelaskan mengenai pelaksanaan pelbagai program kesedaran yang kini sedang giat dilaksanakan di sekolah-sekolah.

“Pihak kami akan terus menyokong dan membantu Kementerian Pendidikan tentang taklimat kesihatan untuk memberikan kesedaran kepada semua dan kami juga berharap untuk bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk mengadakan taklimat kesihatan atau yang berkaitan dengannya,” ujarnya lagi.

Awang Iswandy pula menyatakan perancangannya untuk terus memberikan kesedaran kepada orang ramai terutamanya kepada remaja-remaja sekolah mengenai penyakit HIV AIDS.

“Namun apa yang membimbangkan ketika ini adalah sumber kewangan untuk Majlis AIDS Brunei Darussalam mengadakan aktiviti atau kempen kesedaran memandangkan tiada sumber kewangan yang disumbangkan,” jelasnya lagi.

Katanya, hanya SCB yang terus menyokong dan membantu Majlis AIDS Brunei Darussalam dalam mengadakan aktiviti atau kempen kesedaran mengenai HIV AIDS, namun beliau melahirkan harapan agar mana-mana pihak untuk sama-sama membantu supaya majlis tersebut terus aktif menyumbangkan kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA