Kempen kesedaran kanser payudara

Kempen kesedaran kanser payudara

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang jatuh pada bulan Oktober setiap tahun, Kementerian Kesihatan mengadakan Aktiviti Kempen Kesedaran Kanser Payudara yang berlangsung di Bangunan Pusat Promosi Kesihatan, di sini, hari ini.

Kempen bertema ‘Kesihatan Awda di Tangan Sendiri/Pengesanan Awal Menyelamatkan Nyawa’ ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran yang berterusan mengenai kanser payudara dan langkah-langkah pencegahan serta pengesanan awal dalam kalangan wanita daripada semua lapisan masyarakat di negara ini.

Jururawat Bertugas, Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Mas Surianawati binti Haji Bakar, semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya menekankan bahawa sangat penting bagi kalangan wanita untuk membuat pemeriksaan payudara di peringkat awal lagi untuk mencegah penyakit yang berbahaya itu.

Kempen itu turut diserikan lagi dengan taklimat motivasi yang disampaikan oleh Jururawat Khusus Penjagaan Payudara dari Pusat Kanser Brunei, Dayang Zahrani binti Haji Bojeng dan Kumpulan Bantuan Kanser Payudara, Matron Hajah Dayang Jaliha binti Haji Momin.

Antara yang hadir pada kempen tersebut.
Antara yang hadir pada kempen tersebut.

Atur cara kempen kemudian disusuli dengan kaunseling mengenai penjagaan payudara, demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara dan Pemeriksaan Penyaringan Payudara (BSE) serta aktiviti Zumba Pink.

Kanser payudara adalah yang tertinggi di antara semua jenis kanser di Negara Brunei Darussalam. Dari tahun 2004 sehingga 2013, seramai 542 orang wanita telah didapati menghidapi kanser payudara dan 120 orang meninggal dunia akibat penyakit ini.

Daftar Kanser Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah mendapati 81 peratus atau 438 orang wanita yang menghidap penyakit itu adalah dalam lingkungan umur 35 hingga 64 tahun.

Kempen ini yang dihadiri oleh orang ramai, ahli dan kakitangan di Pusat Promosi Kesihatan itu, turut disokong oleh CANDAS Creative Company yang merupakan salah sebuah syarikat kreatif yang memberigakan mesej-mesej kesedaran melalui laman sesawang sosial.

ARTIKEL YANG SAMA