Kempen Leicester sesuatu yang ajaib

Kempen Leicester sesuatu yang ajaib

LONDON, 7 Mac (Reuters) – Pengurus West Ham United Slaven Bilic yakin kebangkitan Leicester City menandakan berakhirnya dominasi beberapa kelab sebelum ini dan tidak sabar untuk melihat lebih banyak lagi perlawanan Liga Perdana yang tidak dapat diramalkan.

Leicester mendahului liga lima mata di depan dengan hanya baki sembilan perlawanan musim ini yang melihat pasukan-pasukan hebat seperti Manchester United, Chelsea dan Liverpool bergelut untuk memecah masuk di kedudukan empat teratas, apatah lagi untuk merebut gelaran liga.

Bilic, yang pasukannya kini di tangga kelima liga, dua mata di depan United yang kini berada di tangga keenam, menggambarkan transformasi pasukan Foxes yang musim sebelumnya bergelut untuk kekal berada dalam saingan liga perdana sebagai satu keajaiban yang boleh menandakan permulaan satu trend.

“Saya fikir ini adalah peralihan kekal di atas,” beliau memberitahu media Britain selepas pasukannya bangkit dari belakang untuk menewaskan Everton 3-2 pada Sabtu lalu.

“Cerita kami sangat baik namun cerita mereka (Leicester) begitu ajaib.”

Claudio Ranieri ketika meraikan kemenangan pasukannya pada perlawanan Sabtu lepas. – Reuters
Claudio Ranieri ketika meraikan kemenangan pasukannya pada perlawanan Sabtu lepas. – Reuters

Kesemua 20 pasukan Liga Perdana akan berkongsi sebahagian besar 5.1 bilion pounds (AS$7.2 bilion) bagi liputan langsung TV domestik dalam perjanjian tiga tahun bermula musim depan dan Bilic berkata wang tersebut akan membawa persaingan yang lebih hebat pada musim-musim mendatang.

“Apa kata Manchester City membeli Karim Benzema,” katanya. “Mereka sudah mempunyai Sergio Aguero, lalu tiada jurang banyak untuk mereka bertambah baik.

“Chelsea boleh menjual Diego Costa dan membeli Robert Lewandowski, ya, tapi mereka akan menjadi lain, bukan lebih baik.

“Tetapi kelab-kelab seperti kami, Crystal Palace, West Bromwich Albion, Leicester, kami boleh bertambah baik dengan wang itu. Dua tahun lepas West Brom mungkin mampu membeli Salomon Rondon, tetapi mereka perlu menjual Saido Berahino untuk mendapatkannya.

“Sekarang mereka boleh simpan Berahino, jadi tahun depan, dengan lebih banyak pelaburan, anda boleh menyimpan pemain-pemain itu.”