Kempen minum air kosong diteruskan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Sebagai usaha untuk menggalakkan pengambilan air kosong dalam kalangan murid dan warga sekolah sebagai pilihan minuman yang sihat, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama pelajar-pelajar penempatan Universiti Brunei Darussalam meneruskan Kempen Lakas Tah Minum Air Kosong 2018 di Sekolah Rendah Pintu Malim, hari ini.

Kempen yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Pintu Malim itu, dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Pintu Malim, Hajah Noordini binti Haji Tuah yang berkata bahawa sekolahnya merupakan salah sebuah sekolah rintis yang terpilih dalam kempen minum air bagi 2018 dan pihaknya menyambut baik kempen berkenaan.

Beliau juga berkata bahawa kempen itu amat bermanfaat serta mampu untuk memberikan kesedaran kepada para murid mengenai kepentingan minum air kepada kesihatan dan meningkatkan kesedaran itu dalam diri mereka di bangku sekolah lagi.

Majlis diteruskan dengan taklimat kesihatan yang berkaitan dengan kepentingan meminum air kosong dan amalan gaya hidup sihat, kuiz serta pameran kesihatan. Majlis diikuti dengan penyampaian hadiah serta sijil kepada pemenang peraduan mewarna dan melukis yang disampaikan oleh Hajah Noordini.

Kempen Lakas Tah Minum Air Kosong 2018 bermula 1 Februari hingga 15 Mac, iaitu kira-kira selama sebulan 15 hari di mana sebagai permulaan, para pelajar telah pun diberi penerangan tentang kebaikan meminum air kosong dan digalakkan untuk membawa air kosong setiap hari ke sekolah.

Hajah Noordini menyampaikan kata alu-aluannya di Kempen Lakas Tah Minum Air Kosong 2018 yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Pintu Malim, kelmarin.
Hajah Noordini menyampaikan hadiah dan sijil kepada para pemenang di majlis berkenaan.
Taklimat mengenai kepentingan meminum air kosong dan amalan gaya sihat yang disampaikan semasa kempen berkenaan.
Murid-murid sekolah ketika menghadiri majlis dan mendengar taklimat yang disampaikan semasa Kempen Lakas Tah Minum Air Kosong 2018.

Sejak 1 Februari lalu, setiap pelajar yang membawa air kosong ke sekolah akan dicatat dalam buku catatan harian yang disediakan. Selain itu juga, beberapa aktiviti seperti peraduan mewarna bagi pelajar-pelajar Tahun 1 hingga 3 dan peraduan melukis bagi pelajar Tahun 4 hingga 6 telah diadakan pada 3 Februari.

Kempen itu bermatlamat untuk menggalakkan pengambilan air kosong di kalangan pelajar-pelajar dan warga sekolah sebagai pilihan minuman yang sihat.

Di samping itu, ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan meminum air kosong di kalangan warga sekolah terutama sekali pelajar-pelajar sekolah dan warga sekolah yang lain termasuklah guru-guru sekolah serta untuk mendukung dasar meminum air yang telah diperkenalkan oleh pihak Kementerian Kesihatan pada Mac 2017.

Dengan adanya pendekatan seperti itu, Kementerian Kesihatan berharap supaya warga sekolah dan ibu bapa akan lebih peka dengan penyediaan makanan dan minuman yang sihat bagi pelajar-pelajar sekolah. Kerjasama padu daripada semua pihak yang berkepentingan adalah penting bagi mendukung dasar meminum air, khususnya dengan memberi galakkan dan menekankan kebaikan meminum air kosong.

la bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri, bahkan juga untuk membantu dalam menurunkan kadar berat badan yang berlebihan atau obes dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah yang berumur lima hingga 14 tahun.

Hasil kaji selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 2011 menunjukkan bahawa sebanyak 34.6 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 14 tahun meminum minuman manis setiap hari.

Manakala itu, seorang daripada dua orang kanak-kanak yang berumur lima tahun didapati mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes.