Kempen retorik Republikan membimbangkan dunia luar

Kempen retorik Republikan membimbangkan dunia luar

RANCHO MIRAGE, Calif, 17 Feb – Presiden AS Barack Obama semalam berkata beliau mendengar dari para pemimpin asing yang bimbang dengan kedudukan para calon presiden Republikan berhubung isu-isu seperti perubahan iklim dan imigresen.

“Saya berpendapat para pemerhati asing bimbang dengan retorik yang berlaku dalam perdebatan Republikan dan pilihan raya kecil Republikan,” Obama memberitahu para pemberita pada akhir sidang mesyuarat dengan para pemimpin Asia Tenggara.

Rakyat Amerika akan memilih presiden baru dalam pilihan raya pada 8 November. Pihak Republikan dan Demokratik pada masa ini bersaing dalam pemilihan untuk menentukan siapa akan mewakili parti-parti mereka dalam persaingan bagi menduduki jawatan presiden.

Calon presiden Republikan yang disebut-sebut akan menang, Donald Trump telah menjadi tajuk berita kerana menyokong tegahan sementara orang Islam daripada memasuki AS dan kenyataan berkontroversi tentang penghijrah. Namun Obama berkata kebimbangan di luar negara tidak hanya terbatas pada Trump.

“Dia mungkin di sebalik sentimen anti Islam, tetapi jika dilihat pada apa yang dikatakan oleh calon-calon Republikan lain, itu amat membimbangkan juga,” tambah Obama.

Barack Obama ketika berucap pada sidang media hari terakhir persidangan bersama para pemimpin ASEAN. – Reuters
Barack Obama ketika berucap pada sidang media hari terakhir persidangan bersama para pemimpin ASEAN. – Reuters

Dengan menyatakan bahawa negara-negara lain bergantung pada AS untuk menyokong sains bijak, Obama juga mensasarkan penentangan Republikan terhadap tindakan keras pada perubahan iklim sebagai “membimbangkan masyarakat antarabangsa.”

Obama mengulangi keyakinan beliau bahawa akhirnya rakyat Amerika akan menolak jutawan Trump itu.

Rakyat Amerika menyedari presiden akan datang akan boleh menggunakan kod-kod nuklear, berkuasa untuk menghantar pasukan tentera AS untuk berperang dan mungkin ditugaskan mengekalkan apungan sistem perbankan, kata Obama lagi.

“Mereka menyedari tugas presiden adalah serius. Ia bukan menjadi hos bagi rancangan bual bicara, atau rancangan realiti. Ia bukan mempromosi atau pemasaran,” ujar beliau lagi. “Rakyat Amerika bijak, dan saya berpendapat mereka akan membuat pilihan bijak akhirnya.” – Reuters