Kempen ROH beri kesedaran mengenai AIDS

Kempen ROH beri kesedaran mengenai AIDS

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Bermula hari ini hingga 7 November ini, Ribbon of Hope (ROH) di bawah usaha mahasiswa-mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Majlis AIDS Brunei Darussalam menganjurkan kempen ‘Ribbon of Hope’ berbentuk aktiviti dan bazar.

Kempen yang diadakan di Taman Rakis UBD itu disertai oleh 10 pengusaha yang terdiri daripada pengusaha persendirian dan syarikat-syarikat.

Menurut Setiausaha ROH, Dayangku Azyan binti Pengiran Jaludin dan Awang Mohammad Ridhwan bin Jofri, aktiviti ini mempunyai dua objektif iaitu untuk mengutip tabung amal untuk Majlis AIDS Brunei Darussalam dan memberi kesedaran mengenai AIDS.

Menerusi kempen berkenaan, Dayangku Azyan menjelaskan, mahasiswa-mahasiswi yang berada di kawasan bazar ROH, akan mendapat maklumat penting akan kesedaran bahayanya jangkitan AIDS dan bagaimana cara mengelaknya.

Ahli jawatankuasa ROH yang sama-sama menjayakan Kempen Ribbon of Hope berupa aktiviti dan bazar yang berlangsung di UBD.
Ahli jawatankuasa ROH yang sama-sama menjayakan Kempen Ribbon of Hope berupa aktiviti dan bazar yang berlangsung di UBD.

Ketua ROH, Haji Supian bin Lakim turut memberitahu, aktiviti pemberigaan maklumat berkenaan turut dibantu oleh sembilan orang ahli jawatankuasa ROH lainnya dan sukarelawan dari sekolah-sekolah menengah melalui poster dan kuiz yang disediakan.

“Kami berharap dengan usaha ROH ini, akan dapat membantu mahasiswa-mahasiswi UBD untuk lebih sedar dan berhati-hati serta mencegah daripada terjadinya jangkitan yang tidak diingini,” katanya.

Setiap bayaran yang diterima melalui yuran kemasukan dan lainnya akan disumbangkan sepenuhnya kepada Majlis AIDS Brunei Darussalam.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk mengikuti taklimat motivasi yang akan disampaikan oleh Presiden Majlis AIDS Brunei Darussalam, Awang Iswandi Ahmad dengan tajuk ‘Mendengar’ pada 7 November, jam 10 pagi.

Jika berminat, orang ramai boleh menghubungi talian 8892238 (Dayangku Azyan) bagi sebarang maklumat lanjut dan lokasi taklimat tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA