Kempen #tanahairku Petronas

Kempen #tanahairku Petronas

KUCHING, 26 Ogos (Bernama) – Edisi ketiga kempen #tanahairku, anjuran Petronas bersempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini bertumpu di Kuching, Kota Kinabalu dan Johor Baharu.

Ketua Pengurusan Kempen Petronas Fitri Mydin berkata kempen di Johor Baharu akan dilancarkan pada 28 Ogos ini, manakala di Kuching pada 5 Sept, dan Kota Kinabalu pada 12 Sept.

Beliau berkata setiap tahun Petronas berusaha mengangkat tema ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ dalam setiap kempennya bersempena sambutan Hari Kebangsaan, untuk membawa setiap lapisan masyarakat menghayati dan menyanjunginya.

“Hasrat kami adalah untuk mengingatkan orang ramai, khususnya golongan muda yang menjadi kumpulan sasaran, bahawa kita semua adalah sebahagian daripada komuniti yang membentuk kekuatan negara menerusi perpaduan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya kreativiti golongan muda menjadi wadah pihaknya untuk mendekati kumpulan sasaran ini dengan tema perpaduan menerusi seni, bukan sahaja dengan penampilan persembahan berbentuk hiburan semata-mata, tapi turut merangkumi seni grafiti.

Fitri berkata di Kuching pihaknya juga telah mengenal pasti tiaga dinding bangunan yang akan dicat dengan lukisan mural yang memaparkan pelbagai tema perpaduan mengikut kreativiti pelukis muda tempatan.

Beliau berkata kerja mengecat mural di Jalan Carpenter, Lebuh Wayang dan Jalan Main Bazaar itu akan bermula esok.