Kempen Trump bertukar ganas

Kempen Trump bertukar ganas

ALBUQUERQUE, 25 Mei – Protes di luar majlis perhimpunan Donald Trump di New Mexico bertukar ganas malam tadi apabila penunjuk perasaan melempar baju yang dibakar dan botol plastik ke arah pegawai polis selain menterbalikkan tong sampah dan merobohkan sekatan.

Polis bertindak menggunakan semburan lada hitam dan bom asap ke arah orang ramai di luar Pusat Konvensyen Albuquerque.

Ketika perhimpunan berlangsung, calon presiden jangkaan Republikan itu berulang kali diganggu penunjuk perasaan yang menjerit, membawa sepanduk dan enggan berganjak walau pegawai keselamatan meminta mereka bersurai.

Sepanduk itu antara lain tertulis “Trump seorang Fascist” dan “Kami sudah jelak.” Pada satu ketika seorang penunjuk perasaan wanita turut diheret keluar oleh pihak keselamatan.

Trump seperti biasa memberi reaksi sinis mengarahkan pihak keselamatan menghalau penunjuk perasaan dan mengajuk perbuatan mereka dengan menyuruh mereka “pulang kepada ibu di rumah.”

Penunjuk perasaan menyekat laluan di Albuquerque, New Mexico ketika Trump berkempen di Pusat Konvensyen Albuquerque kelmarin. – AP
Penunjuk perasaan menyekat laluan di Albuquerque, New Mexico ketika Trump berkempen di Pusat Konvensyen Albuquerque kelmarin. – AP

New Mexico, hentian pertama Trump semalam adalah negeri paling ramai penduduk Amerika Latin. Ketua Pertubuhan Gabenor Republikan, Gabenor Susana Martinez, satu-satunya gabenor berbangsa Latin, mengkritik keras kenyataan Trump berkaitan pendatang.

Susana pernah mengecam cadangan untuk membina dinding di sepanjang sempadan AS-Mexico. Beliau tidak hadir pada perhimpunan berkenaan.

Trump berkata jumlah penduduk yang ditanggung bahagian kebajikan di New Mexico meningkat tiga kali ganda dan menggesa Martinez melakukan kerja dengan lebih baik. – AP