Kempen udara Rusia beri harapan baru

Kempen udara Rusia beri harapan baru

DAMSYIK, 27 Okt (AFP) – Hanya beberapa minggu lalu, pelajar ekonomi Firas Kiwani merancang untuk meninggalkan rumahnya di ibu negara Syria Damsyik, yakin tidak adanya masa depan di negaranya.

Namun pelancaran kempen udara Rusia pada bulan lalu sebagai menyokong kerajaan Syria telah mengubah fikiran pelajar berusia 20 tahun itu.

“Keadaan sekarang adalah jauh lebih baik, dan saya telah menangguh idea saya sehingga saya melihat apa yang berlaku di darat,” beritahunya kepada AFP, sambil duduk di kafe Damsyek bersama kawannya.

Keputusan Rusia untuk memulakan serangan udara pada 30 September telah dikritik oleh pembangkang Syria dan penyokong antarabangsa.

Mereka menuduh Moscow berusaha menyokong rejim Presiden Bashar al-Assad dan bukannya mensasarkan pejuang jihad, dan membunuh orang awam dalam serangan di kawasna yang dikawal oleh pemberontak.

Namun untuk kebanyakan orang di Damsyek dan kawasan lain yang dikawal oleh kerajaan di Syria, campur tangan tersebut merupakan satu kelegaan.

“Saya selalu rasa takut dan kecewa, dan saya merancang untuk meninggalkan rumah bersama kawan saya,” kata Kiwani.

“Namun dengan permulaan serangan Rusia, tentera Syria mulai mara sekali lagi, dan ia adalah satu perkara baik.”

Perasaan optimistik Kiwani dikongsi bersama oleh ramai orang di Damsyik, yang meluahkan rasa lega terhadap keputusan Moscow untuk campur tangan selepas konflik selama empat tahun.

Sebelum campur tangan, tentera Syria telah mengalami beberapa siri halangan, dengan Assad mengakui ‘keletihan’ yang dialami oleh tenteranya.