Kemudahan asas perlu dibina di Kg Pukat

Kemudahan asas perlu dibina di Kg Pukat

TAWAU, 4 Ogos – Kemudahan asas seperti jambatan, tiang elektrik dan paip air perlu dibina di Kampung Pukat, Tanjung Batu, di sini, sebelum mangsa terlibat kebakaran di kampung itu membina semula rumah mereka.

Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata pembinaan kemudahan asas itu penting bagi memberi keselesaan kepada penduduk terbabit.

“Kemudahan asas yang akan dibina itu termasuk jambatan yang berukuran kira-kira 667 meter, memasang tiang elektrik dan paip air,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang tunai RM500 kepada setiap ketua keluarga terlibat kebakaran di sini hari ini.

Pada majlis sama, Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu turut menyampaikan sumbangan berupa pakaian terpakai kepada mangsa.

Pada 29 Julai lepas, sebanyak 18 rumah setinggan di Kampung Pukat, Tanjung Batu musnah terbakar mengakibatkan 201 orang daripada 37 keluarga hilang tempat tinggal.

Dalam acara berasingan, Abdul Ghapur turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 94 ketua keluarga di Kampung Tanjung Batu Tengah yang terlibat kebakaran pada Selasa lepas.

Dalam kejadian kebakaran kira-kira 1:30 tengah hari itu, sebanyak 46 rumah setinggan di Kampung Tanjung Batu Tengah musnah dan mengakibatkan 413 orang daripada 94 keluarga hilang tempat tinggal.

Sementara itu, Hamisa berkata Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Cawangan Tawau kini berusaha untuk menempatkan mangsa kebakaran yang masih belum ada tempat tinggal. Ini berikutan, sebahagian mangsa kebakaran yang kini ditempatkan di dewan Arena Belia, Jalan Utara, perlu mengosongkan dewan berkenaan memandangkan dewan itu telah ditempah untuk melangsungkan majlis perkahwinan Sabtu ini, katanya.

Bagaimanapun, Hamisa berkata pihak JPAM Tawau sedang menunggu bilangan keluarga yang ingin ditempatkan pusat penempatan sementara mangsa kebakaran di Batu 2, Jalan Apas. – Bernama