Kemudahan buat pengguna korporat

Kemudahan buat pengguna korporat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Dengan hasrat untuk memberikan kemudahan kepada syarikat-syarikat tempatan untuk mendapatkan komputer dan perisian khusus bagi pengguna korporat, Concepts Technologies dan Acer Malaysia, memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pengedaran siri barisan komputer Acer Extensa dalam majlis penandatanganan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, di sini, hari ini.

Di majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak Concepts Technologies ialah Pengurus Concepts Technologies, Ardoni Siregar dan Eksekutif Pengedaran dan Jualan Kanan Concepts Technologies, Dayang Azalinah binti Haji Tuah dan bagi pihak Acer Malaysia diwakili oleh Pengurus Cawangan Acer, Richard Soo dan Pengurus Produk Acer, Andy Tan dengan disaksikan oleh Pengurus Besar Kumpulan Concepts, Vincent Pao.

Menurut Vincent Pao, dengan perjanjian itu, Kumpulan Concepts dapat menawarkan pelbagai produk dan perisian komputer yang baru khusus bagi pelanggan-pelanggan korporat mereka di mana mereka memerlukan komputer serta perisian yang dapat membantu dalam urusan perniagaan harian mereka.

Di samping itu, beliau juga berkata barisan produk dan perisian yang ditawarkan adalah yang terbaik, berkualiti serta nilai untuk wang bagi para usahawan kecil dan sederhana tempatan supaya mereka dapat melaksanakan urusan perniagaan mereka dengan mudah, selamat dan teratur.

Ardoni (dua kanan) dan Richard Soo (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian sambil disaksikan oleh Vincent Pao.
Ardoni (dua kanan) dan Richard Soo (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian sambil disaksikan oleh Vincent Pao.

Manakala itu, Andy Tan pula berkata pihaknya amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Concepts Technologies untuk menawarkan pelbagai perisian dan produk terkini Acer khusus bagi segmen perniagaan Brunei.

Dengan perjanjian itu, para pelanggan bukan sahaja dapat memperoleh komputer atau perisian yang berguna bagi perniagaan mereka tetapi juga mempunyai akses kepada pelbagai perkhidmatan sokongan lepas jualan yang ditawarkan oleh Acer.

Siri komputer Acer Extensa memberikan prestasi yang terbaik dan ciri-ciri perisian pengurusan yang sesuai untuk urusan harian perniagaan di mana bukan sahaja barisan komputer itu mengetengahkan pelbagai teknologi terkini dari Acer tetapi ia juga berpatutan dan jimat dari segi penggunaan tenaga.

ARTIKEL YANG SAMA