Kemudahan ICT untuk masyarakat luar bandar di seluruh Sabah

Kemudahan ICT untuk masyarakat luar bandar di seluruh Sabah

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) – Sebanyak 30 pusat e-Desa beroperasi di seluruh Sabah setakat ini, kata Menteri Pengurusan Sumber dan Teknologi Maklumat negeri Datuk Siringan Gubat.

Dengan adanya pusat itu, katanya masyarakat luar bandar terutama di kawasan luar liputan perkhidmatan, akan mendapat kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selaras inisiatif kebangsaan untuk mengurangkan jurang digital.

“Program e-Desa memanfaatkan serta memperkasa masyarakat setempat melalui kemudahan ICT,” katanya ketika merasmikan Seminar ICT anjuran kementeriannya di sini, hari ini.

Seminar bertemakan ‘Pembudayaan ICT Dalam Perkhidmatan’ itu diadakan sempena sambutan bulan ICT peringkat negeri bagi memperkasa kebolehan dalam kalangan warga kementerian dan agensinya mengenai teknologi dan aplikasi ICT.

Siringan berkata kementerian menganjurkan pelbagai kursus dan latihan secara percuma kepada masyarakat seluruh Sabah sebagai usaha menyemarakkan dan membudayakan ICT dalam kalangan golongan sasar di bandar mahupun luar bandar.

Antara program dan aktiviti dianjurkan, termasuk Kreatif Arama-IT dan Kelab Sekolah Maya, katanya.

“Semua ini dilakukan bagi memastikan masyarakat bersedia dan berupaya menggunakan ICT dalam semua aspek kehidupan seharian mereka,” katanya.