Kemudahan kurang memuaskan

Kemudahan kurang memuaskan

KUCHING, 15 Jun (Bernama) – Laporan Audit Negara menyebut pembangunan tapak Program Pembangunan Industri Berkelompok Minyak Sawit (POIC) di Tanjung Manis adalah memuaskan tetapi dari aspek perancangan dan pelaksanaan kemudahan asas adalah kurang memuaskan.

Laporan itu hasil pengauditan yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara antara Julai dan Oktober 2014.

Menurut laporan itu, sumbangan POIC Tanjung Manis dalam meningkatkan pendapatan Kerajaan Negeri Sarawak melalui eksport minyak kelapa sawit dan produk hilirannya dalam tempoh yang ditetapkan masih belum tercapai.

“Ringkasnya penemuan audit mendapati projek belum dapat menarik minat serta meyakinkan pelabur disebabkan kemudahan utiliti asas seperti air dan elektrik yang belum dibangunkan sepenuhnya,” menurut laporan itu.

Selain itu, laporan juga menyatakan perancangan projek POIC Tanjung Manis tidak mengambil kira keperluan asas secara menyeluruh, terutama bekalan air yang mencukupi bagi menampung kegunaan industri di Tanjung Manis.

Laporan itu juga menyebut pengurusan kewangan kurang memuaskan sehingga berlaku perolehan melebihi peruntukan dan penggunaan peruntukan yang diluluskan untuk projek lain bagi membiayai lebih perbelanjaan dan tanpa kelulusan di peringkat Lembaga.

ARTIKEL YANG SAMA