Kemudahan menabung pahala

Kemudahan menabung pahala

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Orang ramai yang berkunjung ke premis Sumbangsih Mulia, Beribi, kini berpeluang untuk menyalurkan sumbangan untuk Tabung Dana Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam apabila sebuah tabung dirasmikan kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian tabung dana ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Harun bin Haji Junid.

Turut hadir ialah Penasihat Sumbangsih Mulia dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin, Pengarah Sumbangsih Mulia, Pengiran Dato Paduka Sharifuddin bin Pengiran Haji Matali, para pengarah, pegawai kanan dan kakitangan KHEU.

Pengiran Dato Paduka Sharifuddin dalam ucapannya berkata, peletakan tabung dana di Sumbangsih Mulia adalah bagi menjunjung tinggi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah memperkenankan penubuhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid.

Haji Harun menyalurkan sumbangan ke tabung dana berkenaan.
Haji Harun menyalurkan sumbangan ke tabung dana berkenaan.

Beliau juga menyatakan, penubuhan tabung dana itu adalah untuk memberikan kemudahan kepada orang-orang Islam untuk membabitkan diri dalam pembinaan masjid, menabung pahala dan seterusnya bertanam saham di akhirat.

“Pihak Sumbangsih Mulia tidak ketinggalan dalam inisiatifnya bagi memberi kemudahan sepertinya kepada para pelawatnya dengan menempatkan satu tabung dana khusus bagi tujuan ini,” jelas Pengiran Dato Paduka Sharifuddin lagi.

“Dengan sokongan dan kerjasama Urus Setia Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, maka hasrat murni ini dapat dicapai dan diharap akan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam.”

Majlis diteruskan dengan perasmian tabung dana oleh Haji Harun dan diteruskan dengan beliau menyalurkan sumbangan ke tabung dana berkenaan sebelum diikuti oleh para jemputan yang menghadiri majlis berkenaan.

Dengan adanya tabung ini, ia akan memudahkan lagi umat Islam dan orang ramai bagi menginfaqkan (membelanjakan) harta yang dimilikinya dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan meraih apa yang dijanjikan Allah S.W.T kepada orang yang membina masjid.

ARTIKEL YANG SAMA