Kemudahan mesra OKU akan dikuatkuasakan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN,12 Mac – Kemudahan orang kurang upaya (OKU) sentiasa ditingkatkan dengan mengadakan beberapa kemudahan mesra OKU di semua bangunan dan premis yang akan dikuatkuasakan pada 1 November ini untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka, jelas Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar ketika menjawab soalan Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

Ketika menjawab soalan mengenai pembuangan sisa elektronik yang merupakan masalah sejagat yang perlu diberi perhatian khusus, Yang Berhormat Dato berkata, walaupun setakat ini belum ada disediakan tempat khas di setiap daerah tetapi terdapat syarikat-syarikat kitar semula yang berdaftar di Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi yang boleh menerima e-Waste yang akan memilih bahan-bahan yang boleh dikitar semula supaya pelupusan dilaksanakan dengan teratur.

Menyentuh mengenai usaha penilaian impak alam sekitar dalam memastikan eko sistem marin tidak terjejas dengan usaha sektor perikanan, Yang Berhormat Dato berkata, di bawah perintah Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar 2016, setiap pemaju yang bercadang melaksanakan aktiviti terjadual hendaklah menghadapkan pemberitahuan bertulis.

“Pemberitahuan bertulis hendaklah disertakan dengan keterangan terperinci sebagaimana yang dikehendaki di dalam jadual di bawah perintah termasuklah laporan penilaian kesan projek terhadap alam sekitar yang menggariskan langkah-langkah pencegahan dan cara-cara menangani serta membaik pulih kesan-kesan negatif sesuatu projek,” kata Yang Berhormat Dato.

Antara para pelajar yang hadir ketika mendengarkan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara hari keenam kelmarin.

Ketika menjawab soalan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit mengenai rancangan tapak perusahaan seperti kawasan berkebun, bengkel dan perusahaan lain yang bersesuaian dengan garis panduan Jabatan Kemajuan Perumahan, Yang Berhormat Dato menjelaskan, setiap kawasan skim perumahan telah disediakan kawasan tertentu untuk perusahaan ringan atau perniagaan kecil dan hanya menunggu pihak-pihak tertentu untuk mengusahakannya.

“Perlu diingat juga membuat perusahaan atau perniagaan seperti bengkel kereta di rumah-rumah persendirian adalah menyalahi pensyaratan khas tanah perumahan. Patuhilah peraturan dan pensyaratan perjanjian perumahan semasa pengurniaan untuk mendapatkan perumahan berkenaan,” tekan Yang Berhormat Dato.

Ketika menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh ahli-ahli Yang Berhormat dari daerah-daerah mengenai cadangan memberikan pilihan kepada pemilik tanah bagi menggantikan tanah yang sering dilanda banjir dengan ke tempat-tempat lain, Yang Berhormat Dato berkata, cadangan berkenaan tertakluk kepada beberapa pensyaratan dan perlu diteliti kesesuaiannya.

“Walau bagaimanapun, pihak kerajaan tidak akan berkompromi dengan kemajuan yang tidak mengikut peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan,” tegas Yang Berhormat Dato.