Kemudahan sek...

Kemudahan sekolah di Kinabatangan perlu dibaiki – Bung Moktar

TONGOD, 5 Jan – Banyak kemudahan sekolah di Kinabatangan khususnya di kawasan luar bandar mengalami kerosakan dan memerlukan pembaikan, kata Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurutnya ia menyebabkan suasana pembelajaran tidak selesa dan kekurangan kemudahan kepada pelajar di sekolah terbabit.

“Tinjauan saya sendiri di beberapa sekolah di sekitar Kinabatangan semalam mendapati ada kemudahan dan bangunan sekolah mengalami kerosakan dan memerlukan pembaikan.

Kerosakan tersebut ada yang menimbulkan keadaan tidak selamat kepada pelajar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Balik Ke Sekolah membabitkan penyampaian beg dan peralatan sekolah di sini hari ini.

Beg dan peralatan sekolah itu sumbangan Felcra Berhad kepada 3,400 murid dari 44 sekolah di daerah Kinabatangan dan Tongod.

Sejumlah 400 murid golongan asnaf turut menerima wang zakat RM100 daripada Lembaga Tabung Haji di bawah program Iqra.

Berikutan itu, Bung Moktar berkata beliau akan mengemukakan masalah kerosakan dihadapi di beberapa sekolah itu kepada Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan peruntukan.

Katanya peruntukan serta merta dari kementerian itu diperlukan supaya kerja pembaikan dapat dilakukan dengan segera.

Menurutnya masalah dan isu-isu berkaitan pendidikan menjadi keutamaan kepada beliau untuk diambil perhatian oleh kerajaan dan diselesaikan dengan cara terbaik. – Bernama