Kemuliaan manusia dinilai berdasarkan ketakwaan

Kemuliaan manusia dinilai berdasarkan ketakwaan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Umat Islam perlu sedar keperluan berpegang kepada ajaran Allah S.W.T dengan mematuhi apa yang diperintahkanNya dan menghindari daripada melakukan apa yang ditegah dan dilarangNya.

Dalam hubungan ini, umat Islam diperintahkan supaya bertakwa agar dapat mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang terlarang dan menjadi orang yang menyukai kebaikan dan membenci keburukan.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyentuh mengenai konsep ketakwaan semasa menyampaikan Khutbah Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, Allah S.W.T memerintahkan umat Islam agar tetap dan kekal beriman sebagai orang Islam sehingga akhir hayat dengan ketakwaan yang mendorong manusia agar beribadat kepada Allah S.W.T dan ikhlas mematuhi ajaran-ajaranNya.

Begitu juga, dalam kehidupan ini, hidup kita tidak bersendirian, kerana Allah S.W.T menciptakan manusia daripada jenis lelaki dan perempuan, lalu dijadikannya berlainan puak dan bangsa dengan corak dan cara kehidupan berbeza dipengaruhi latar belakang budaya masing-masing dan juga kepercayaan amalan beragama yang berbeza.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menyampaikan Khutbah Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha.
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menyampaikan Khutbah Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha.

Namun, Allah S.W.T menghendaki agar manusia yang hidup berlainan puak, berlainan bangsa itu untuk saling mengenal, ‘lita’arafu’ dengan menegaskan bahawa kemuliaan manusia yang berlainan puak dan berlainan bangsa itu dinilai berdasarkan takwa, dengan ditegaskannya bahawa yang paling mulia di antara manusia yang berpuak-puak dan berbangsa-bangsa itu menurut penilaian Allah S.W.T adalah paling tinggi mutu takwanya.

Oleh yang demikian, dalam menghadapi realiti kehidupan berlainan puak dan bangsa itu ialah masing-masing berusaha untuk mengenali antara satu sama yang lain, menghargakan kejadian yang berbeza puak dan bangsa itu sebagai kehendak Allah S.W.T, bahkan perbezaan-perbezaan itu adalah sunnatullah yang menandakan kebesaran serta kekuasaanNya sebagai Allah S.W.T yang Maha Pencipta, kata Yang Berhormat Pehin lagi.

Ringkasnya, maksud takwa dalam konteks realiti kehidupan pelbagai puak dan bermacam bangsa itu ialah masing-masing puak, masing-masing bangsa yang berlainan dan beragam-ragam itu ialah dengan menahan diri daripada saling membenci, saling memusuhi yang membawa kepada menzalimi dan mencerobohi terhadap satu sama lain.

Unsur terpenting, jelas Yang Berhormat Pehin, dalam kesemua ini ialah tidak campur tangan dan dalam skop berantara bangsa, sama berdaulat, serantau dan seglobal adalah bebas daripada campur tangan asing dalam urusan masing-masing bangsa dan negara yang berdaulat.

“Alhamdulillah konsep takwa dengan tidak campur tangan dalam urusan negara lain itu telah dimayshurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam keseluruh dunia, akan menjadi dasar dan amalan kita sebagai negara yang berdaulat dan merdeka sewaktu mengambil alih semula tanggungjawab antarabangsa pada 1 Januari 1984.”

Sementara dalam khutbah kedua, Yang Berhormat Pehin menyentuh mengenai dengan wawasan Raja yang mencontohkan penghayatan beragama.

Menurut Yang Berhormat Pehin, majlis yang berlangsung di perkarangan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, di sini sejurus selepas selesai bersembahyang Aidiladha yang dilaksanakan setiap tahun itu, pada tahun ini telah mengambil formatnya yang baru iaitu dilanjutkan dengan Sambutan Hari Raya Aidiladha di Istana Nurul Iman.

Kedua-dua acara itu akan diserikan dengan gema laungan Takbir Hari Raya bagi menepati seruan Rasulullah S.A.W agar umat Islam memperbanyakkan zikir dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah termasuklah pada Hari Raya Aidiladha.

“Tidak syak lagi bahawa format baharu Majlis Ibadah Korban Sunat dan Sambutan Hari Raya Aidiladha di Istana Nurul Iman itu adalah wawasan raja kita mencontohkan kepentingan meningkatkan syiar Islam dan penghayatan beragama menurut cara dan calak keBruneian kita,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Menurutnya, ia merupakan manifestasi kesyukuran kepada Allah S.W.T yang mengizinkan negara ini hidup aman damai, saling bersefahaman khasnya saling mendukung antara raja dan rakyat.

“Hasilnya ialah negara kita dikurniakan rezeki yang berkat untuk dapat membangun dan memajukannya, meningkatkan mutu kehidupan melalui pelbagai inisiatif dan program kebajikan, khasnya kebajikan dalam bidang pelajaran dan penjagaan kesihatan termasuklah juga pemedulian ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat.”

Semoga contoh tauladan daripada Baginda ini, jelas Yang Berhomat Pehin, akan menjadi ikutan sebagaimana halnya ibadah korban sunat Baginda dan kerabat Baginda telahpun menjadi ikutan yang meluas pelbagai pihak.

ARTIKEL YANG SAMA