Kemuncak saingan Bolt-Gatlin

Kemuncak saingan Bolt-Gatlin

NASSAU, Bahamas, 5 Mei (AFP) – Ketika peminat sukan tertumpu di gelanggang tinju untuk pertarungan paling mahal di Las Vegas, dua lelaki terpantas dunia pula cuba mengatasi satu sama lain di trek.

Pemenang emas Olimpik enam kali, Usain Bolt dan seteru utamanya dari Amerika Syarikat, Justin Gatlin bersaing di Stadium Thomas A Robinson di Bahamas ketika Floyd Mayweather-Manny Pacquiao hampir memulakan pertarungan yang dilabel terhebat dalam sejarah tinju dunia.

Reputasi Bolt-Gatlin memang besar kerana Gatlin berjaya membantu kuartet 4x100m AS menjulang emas Kejohanan Lari Berganti-ganti Dunia IAAF ketika Bolt gagal mengatasi pelari terakhir AS, Ryan Bailey di garisan penamat.

“Saya rasa saingan antara kami memang hebat, sama seperti Pacquiao dan Mayweather,” kata Gatlin.

“Saya rasa itulah yang mahu disaksikan peminat dan saya tidak sabar terus bersaing dengannya.”

Usain Bolt (kanan) bersaing dengan Justin Gatlin dalam acara 100 meter di IAAF Diamond League di Brussels pada 6 September 2013. – Reuters
Usain Bolt (kanan) bersaing dengan Justin Gatlin dalam acara 100 meter di IAAF Diamond League di Brussels pada 6 September 2013. – Reuters

Gatlin, 33, mendominasi musim 2014 menerusi catatan terbaik peribadi 100 dan 200m iaitu 9.77 serta 19.68s.

Begitupun, Bolt yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan berkata, dia mula mendapat rentak dan sedia mempertahankan gelaran Raja Pecut yang disandang di Kejohanan Olahraga Dunia di Beijing, Ogos ini.

“Saya cuma perlu kembali ke tahap yang pernah saya miliki sebelum ini,” kata Bolt selepas mengakhiri perlumbaan di tempat kedua, di belakang AS dalam acara lari berganti-ganti.

“Kami masih ada masa tiga bulan dan saingan di Kejohanan Olahraga Dunia adalah penentu.”

Bolt pernah membantu Jamaica memenangi dua gelaran Olimpik selain tiga gelaran dunia dalam acara 4x100m dan ketika diminta mengulas kemenangan kuartet AS yang turut dianggotai Tyson Gay, dia berkata: “Saingan Kejohanan Dunia pasti lebih menarik dengan kehadiran mereka.

“Saya tidak terkejut dengan kekalahan ini. Kami belum dapat keserasian sebagai satu pasukan dan secara peribadi, saya tidak berada pada tahap terbaik. Saya mempunyai tempoh tiga bulan untuk berlatih.”