Kemunculan buaya cetus kebimbangan

Kemunculan buaya cetus kebimbangan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 9 Okt – Kemunculan kali kedua seekor buaya berukuran panjang dan bersaiz besar di longkang besar kawasan Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan amat membimbangkan kalangan penduduk di sini.

Ketua Kampung Pandan B, Haji Abdul Malik bin Haji Abu Bakar, semasa ditemui Media Permata, hari ini, menekankan telah menerima aduan daripada penduduk kampung Jumaat lalu akan kehadiran seekor buaya besar bersadai di atas lantai simen berdekatan longkang saliran besar di sini.

Menurutnya, buaya yang dilihat sama besarnya dengan yang pernah dilihat sedang bersadai sebelum ini, kira-kira April lalu di tempat yang sama, dan kawasan itu merupakan tempat laluan terutama mereka yang berjoging pada sebelah pagi dan petang termasuk tempat memancing oleh kalangan pekerja warga asing.

“Kawasan yang dikenal pasti setakat ini ialah di Simpang 106-62 Pandan B, dan buaya itu sangat besar kira-kira sepanjang 20 kaki,” kata Haji Abdul Malik.

Haji Abdul Malik kemudian menambah bahawa penduduk mula bimbang ekoran kejadian sebelum ini di mana seorang penduduk yang sedang membersihkan halaman di belakang rumahnya hampir dibaham seekor buaya yang dipercayai datang daripada longkang besar.

Gambar buaya yang dilihat pada bulan April lalu berdekatan dengan longkang besar di kawasan Perumahan Pandan B.
Gambar buaya yang dilihat pada bulan April lalu berdekatan dengan longkang besar di kawasan Perumahan Pandan B.
Papan tanda amaran menunjukkan ada buaya di kawasan berkenaan.
Papan tanda amaran menunjukkan ada buaya di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, menurutnya, dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait, beberapa papan tanda amaran akan dipasang sedikit masa lagi di kawasan yang dikenal pasti sering terlihat buaya di kampung itu.

“Saya berharap dan menasihatkan kepada penduduk kampung dan juga majikan-majikan supaya menjauhi kawasan yang dikenal pasti terdapat buaya dan mengambil maklum terhadap kawasan yang telah dipasangkan papan-papan tanda amaran ‘Awas Ada Buaya’ di kampung ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” tambahnya.

Baru-baru ini, seorang lelaki berbangsa Cina bernasib baik kerana terselamat daripada menjadi mangsa baham seekor anak buaya dalam kejadian yang berlaku di Labi, ketika lelaki terbabit sedang memancing ikan.

Kawasan itu, menurutnya, pernah dikhabarkan kelihatan buaya besar dan kecil, dan orang kampung sudah mulai tidak lagi mendatangi kawasan berkenaan.

Beliau juga memberitahu pernah mengusulkan untuk buaya yang kelihatan berjemur di kawasan perumahan untuk ditangkap, tetapi pihak jabatan berkenaan menyatakan, setakat ini belum ada pihak yang pakar mengenainya dan menurutnya kehadiran buaya yang sudah semakin kerap amat membimbangkan terutama isu keselamatan dalam kalangan kanak-kanak atau murid-murid sekolah.

Untuk terus memberigakan keselamatan kepada penduduk kampung, empat papan tanda amaran akan dipasang di kawasan RPN Pandan B, manakala di kawasan Pandan C sudah terdapat papan tanda amaran yang diletakkan berhampiran longkang besar kawasan berdekatan dengan Taman Lagoon di sini.

ARTIKEL YANG SAMA