Kemunculan pertama Wi-Fi di Cuba

Kemunculan pertama Wi-Fi di Cuba

HAVANA, 19 Jun (Reuters) – Cuba merancang memancarkan isyarat Wi-Fi di 35 tempat awam dalam tawaran pertama seumpamanya bagi rakyat negara itu, yang akses internet mereka kebanyakannya adalah terhad.

Negara tersebut juga akan mengurangkan kos bagi melayari internet dari AS$4.50 kepada AS$2 sejam, ketua jurucakap bagi telekomunikasi negara itu, Etecsa, memberitahu akhbar Juventud Rebelde bagi edisi semalam.

Cuba adalah sebuah negara di bawah pemerintahan komunis dan mempunyai kadar penggunaan internet paling rendah di dunia berikutan kadar bayarannya yang tinggi selain sekatan yang terlalu ketat oleh pihak berkuasa.

Hanya 3.4 peratus rumah kediaman warga Cuba disambungkan dengan kemudahan internet, dan kebanyakan mereka mempunyai kemudahan intranet, bukannya internet, menurut data daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun pada masa ini para pegawai Cuba kelihatannya sudah pun memberikan lebih perhatian ke atas tuntutan rakyat bagi akses yang lebih baik bagi internet.

Pada masa sama Amerika Syarikat mempromosikan penggunaan internet di Cuba dengan sebahagian caranya ialah melonggarkan sekatan ekonomi ke atas negara itu bagi membolehkan firma-firma AS mengadakan perniagaan internet di sini.

Isyarat Wi-Fi akan dipancarkan keke 35 tempat awam termasuk lima di Havana, jurucakap Etecsa Luis Manuel Diaz Naranjo memberitahu Juventud Rebelde. Setiap tempat mampu mengendalikan 50 hingga 100 pengguna, kata Diaz Naranjo.