Kemunculan Sang Bedal cetus kekecohan

Kemunculan Sang Bedal cetus kekecohan

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 15 Feb – Kemunculan tetamu tidak diundang di kawasan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Anduki di sini, pagi tadi, menimbulkan kekecohan apabila ia menjadi viral di media sosial WhatsApp dengan pelbagai maklumat tidak tepat mengenai buaya itu.

Selain gambar-gambar, video kemunculan buaya besar itu cuba diusir menggunakan jengkaut turut tersebar luas sehingga menarik perhatian pihak media untuk mendapatkan maklumat tepat mengenainya.

Pengurus Operasi Syarikat Duaodua-APT Waste Management Sdn Bhd (syarikat yang mengendalikan pusat berkenaan), Awang Ishak bin Haji Taha memberitahu, beliau telah

dimaklumkan mengenai kemunculan buaya berkenaan oleh salah seorang kerani kira-kira pukul 7 pagi semasa pekerja syarikat tiba di kawasan kerja berkenaan.

Seekor buaya muncul di kawasan tapak kerja Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Anduki Seria.
Seekor buaya muncul di kawasan tapak kerja Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Anduki Seria.

Menurutnya, kawasan di mana buaya itu muncul merupakan tempat rehat dan tempat mereka membuat perbincangan ringkas pasukan kerja secara tidak formal.

“Pada masa itu saya masih dalam perjalanan menuju ke kawasan tempat kerja apabila menerima panggilan mengenai kemunculan buaya, dan salah seorang daripada penyelia yang berada di tempat kejadian telah membuat panggilan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat,” kata Awang Ishak, yang kemudiannya turut mengarahkan pintu-pintu pagar ke tempat pelupusan sisa itu ditutup.

“Tapak tersebut merupakan tempat pembuangan sisa dan untuk memastikan keselamatan semua orang, kami menjadikan kawasan itu sebagai larangan daripada ditembusi mana-mana kenderaan,” tambahnya, sambil berkata pihak bomba tiba kira-kira pukul 7:30 pagi.

Apabila beliau tiba di tapak kerja kira-kira pukul 7:50 pagi, pegawai bomba meminta mereka untuk mengusir buaya berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kenyataannya pula menyatakan buaya tersebut dipercayai datang dari luagan yang berdekatan dan berkelakuan agresif serta mencemaskan pekerja-pekerja di kawasan berkenaan.

Pihak bomba hanya berada di tempat berkenaan untuk mengawal dan memastikan keselamatan para pekerja.

Pihak kontraktor yang berada di tempat itu telah membantu mengawal keadaan dengan menghalau buaya tersebut menggunakan mesin jengkaut tanpa mencederakannya atau membunuhnya seperti yang didakwa sesetengah pihak, dan haiwan itu berjaya dihalau balik ke tempat asalnya dengan selamat, menurut kenyataan itu lagi.

Awang Ishak memberitahu buaya tersebut berukuran kira-kira lapan kaki panjang dan berat sekitar lebih 100 kilogram.

“Kami tidak ada cara lain dan terus menggunakan jengkaut untuk mengusirnya dari jam 8 pagi, dan kira-kira pukul 9 pagi kami berjaya mengusirnya menuju kawasan anak sungai di depan tapak kerja dan kami percaya memang ia berasal dari sungai itu.”

Mereka juga merancang untuk meletakkan papan tanda sebagai makluman bahaya memancing di kawasan itu kerana buaya sudah muncul di depan mata mereka hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa syukur walaupun kejadian berkenaan telah mengakibatkan jadual kerja mereka tertunda, tetapi keselamatan adalah paling penting dan syarikat memastikan kerja hanya boleh dimulakan setelah keadaan selamat sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA