Kemunculan Ultraman tarik keterujaan pengunjung

Kemunculan Ultraman tarik keterujaan pengunjung

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 24 Jan – Sorakan dan jeritan kegembiraan ratusan peminat terutamanya kanak-kanak serta remaja, membanjiri tingkat pertama Pusat Membeli-belah KBSentral Kuala Belait hari ini dengan kemunculan watak-watak wira Ultraman kegemaran mereka seperti Ultraman Zero, Ginga dan Tiga.

Ketiga-tiga watak wira dari zaman 80an dan 90an ini membawa banyak memori bagi mereka yang menghadiri sesi bergambar bersama Ultraman, di mana ia merupakan peluang keemasan bagi para peminat untuk bergambar bersama wira kesayangan mereka.

Menurut Human Capacity Building (HCB) Consultancy Service yang menganjurkan acara berkenaan, sesi-sesi bergambar yang telah diadakan di beberapa buah pusat membeli-belah ini, merupakan pertunjukan awal bagi menarik perhatian orang ramai mengenai persembahan Ultraman Live di Brunei 2016, yang akan diadakan pada 18 hingga 28 Mac 2016 di Amfiteater Taman Permainan Jerudong.

Dalam acara tersebut, ketiga-tiga watak wira dari Jepun itu membuat penampilan dalam empat waktu berbeza selama 30 minit bagi sesi bergambar bersama pengunjung dan peminat iaitu pada pukul 12:30 tengah hari, 4:30 petang, 5:30 petang dan 8 malam.

Beberapa buah keluarga bergambar bersama salah satu watak Ultraman yang membuat kemunculan di KBSentral.
Beberapa buah keluarga bergambar bersama salah satu watak Ultraman yang membuat kemunculan di KBSentral.

pg07_160125_d

Menurut penganjur itu lagi, tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan berkenaan dijual pada harga $28, $38 dan $50, bagaimanapun, orang ramai boleh mendapatkannya pada harga promosi masing-masing $25, $35 dan $45 jika membelinya sebelum 6 Februari. Di samping itu, mereka yang membeli tiket $45 akan diberi jam Ultraman secara percuma.

Selain itu, kuiz juga akan diadakan untuk orang ramai di mana mereka berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah dan mendapatkan harga diskaun untuk tiket persembahan.

Untuk lebih banyak maklumat terkini mengenai siri jelajah yang akan datang, bolehlah menghubungi penganjur di talian 7237477 atau 8297890. Orang ramai juga boleh mengikuti akaun Facebook dan Instagram ‘UltramanLiveInBrunei2016’.