Kemungkinan Korea U melancarkan peluru berpandu

Kemungkinan Korea U melancarkan peluru berpandu

TOKYO, 28 Jan – Analisis imej satelit menunjukkan Korea Utara mungkin bersiap sedia melancarkan peluru berpandu balistik jarak jauh, lapor Kyodo News Jepun hari ini dengan memetik sumber kerajaan Jepun.

Imej yang diambil beberapa hari lalu menunjukkan pelancaran dari tapak barat Dongchangri mungkin berlaku dalam tempoh seminggu, lapor Kyodo.

Sementara laporan itu tidak memberikan sebarang butiran tentang sumber analisis itu, sekutu keselamatan utama Jepun, AS kerap mengawasi Korea Utara dari ruang udara sementara Jepun sendiri dalam tahun 2003 memulakan pengawasan satelitnya sendiri ke atas negara itu.

Jurucakap kementerian pertahanan Korea Selatan Kim Min-Seok enggan mengesahkan atau menolak laporan itu, dengan mengatakan kementerian itu tidak mengulas tentang perihal perisikan itu.

Bagaimanapun dia menambah kata ketenteraan Korea Selatan sedang memantau sebarang tanda pelancaran peluru berpandu jarak jauh.

Laporan itu dibuat ketika masyarakat antarabangsa membincangkan sekatan seterusnya ke atas Pyongyang kerana melancarkan ujian nuklear keempatnya awal bulan ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA