Kena 12 bulan penjara, 3 sebat tinggal lebih masa

Kena 12 bulan penjara, 3 sebat tinggal lebih masa

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Kerana tinggal selama 942 hari di Brunei Darussalam selepas pas lawatan mansuh, seorang lelaki Indonesia dijatuhi 12 bulan penjara dan tiga sebat oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Nurhasim Hamdani, 49, didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen, Penggal 17, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2)(b) yang sama, yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun, dan sebat tidak kurang daripada tiga sebatan jika tinggal melebihi 90 hari secara tidak sah di negara ini.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain memerintahkan hukuman ke atas defendan berkuat kuasa hari ini.

Fakta kes menyebut, defendan melaporkan dirinya ke unit penguatkuasaan imigresen pada 4 Ogos 2014 dan memaklumkan bahawa dia telah kehilangan pasportnya di mana defendan terlebih dahulu turut membuat laporan polis mengenai kehilangan pasportnya pada 1 Ogos 2014.

mahkamah

Pemeriksaan menerusi sistem pangkalan data imigresen pula menunjukkan defendan memasuki negara ini pada 29 November 2011 melalui Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah, dan hanya diberikan pas melawat yang sah sehingga 6 Disember 2011, dan tiada tempoh lanjutan dibuat selepas tarikh ini.

Defendan mengaku tidak pernah meninggalkan negara ini sejak pas lawatannya mansuh, sebaliknya telah menyerahkan pasportnya dan wang $50 kepada seorang individu bernama ‘Pengiran Ahmad’ untuk menguruskan tempoh lanjutan pas lawatannya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Atiyyah binti Haji Abas.

ARTIKEL YANG SAMA