Kena 20 bulan akibat curi duit tabung masjid

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Seorang pembantu pengawal keselamatan sebuah masjid yang sanggup mencuri duit tabung masjid untuk membeli dadah dihukum 20 bulan penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini.

Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli memutuskan hukuman itu terhadap Sahimin bin Hussin, 39, yang mengaku bersalah mencuri duit tabung masjid dalam dua kejadian berasingan pada 15 Februari sekitar jam 10:30 malam dan 16 Februari 2018 kira-kira jam 2:50 pagi dari Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Dia didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim mengikut Seksyen 380A Kanun Keseksaan, Penggal 22 yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun dan juga sebatan.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu pengawal keselamatan di masjid itu sejak Jun 2015 telah mencuri wang daripada empat peti tabung dengan melekatkan pelekat dua muka pada hujung pembaris dan memasukkan pembaris itu ke dalam tabung.

Terdahulu, imam masjid mengesyaki wang tabung telah hilang apabila mendapati ada calar di dalam tabung tersebut pada 13 Februari namun kamera litar tertutup (CCTV) ketika itu tidak berfungsi.

CCTV hanya mula berfungsi pada 15 Februari, yang mana rakaman mendedahkan tertuduh mencuri wang tabung tersebut.