Kena 8 bulan penjara akibat rosakkan kereta

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhi hukuman lapan bulan penjara terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah melakukan kerosakan pada empat buah kenderaan persendirian.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain turut memerintahkan Cheong Foo Keong berusia 47 tahun untuk membayar ganti rugi kepada pemilik kereta tersebut.

Cheong Foo Keong didakwa menendang pintu belakang bahagian kiri kereta Toyota Altis dan Toyota Fortuner serta menendang pintu pemandu dan menarik cermin sisi kereta Mercedes dan sebuah lagi Toyota Fortuner lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam dua kejadian berasingan pada 3 dan 6 Jun 2017 di kawasan Sekolah Chung Hwa di ibu negara.

Kerosakan pada kereta Mercedes dianggarkan berjumlah $3,997.50 manakala untuk Toyota Fortuner itu ialah $2,017.89.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Hajah Nor’Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin.