Kena 8 bulan

Kena 8 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap seorang ibu dan teman lelakinya selepas pasangan itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan mendera dan membiarkan seorang kanak-kanak perempuan di bawah jagaan mereka mengalami kecederaan fizikal.

Mohammad Shahiful Rizal bin Bakri, 28, yang merupakan teman lelaki kepada ibu kanak-kanak itu kelihatan tenang apabila hukuman dijatuhkan Hakim Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid, yang turut memerintahkannya dikenakan satu sebatan manakala ibu mangsa sejak masuk ke dalam ‘kandang bersalah’ kelihatan mengesat air mata.

Terdahulu, Mohammad Shahiful Rizal didakwa mendera kanak-kanak berusia empat tahun itu sementara ibu mangsa juga 28 tahun berdepan dakwaan membiarkan anaknya didera.

“Bagaimana seorang ibu sanggup membenarkan anaknya didera, malah suka melihat anaknya diperlakukan sedemikian rupa.

“Tertuduh mungkin terus melakukan penderaan terhadap mangsa jika kes itu tidak menjadi viral melalui laman sosial,” kata hakim sambil menambah dia gagal melihat dari segi mana alasan ‘disiplin’ yang diberikan tertuduh itu dapat mendisiplinkan mangsa.

pg06_160225_mahkamah logo

Kertas pertuduhan menyebut, Mohammad Shahiful ketika disoal-siasat mengaku bahawa lelaki dalam video itu adalah dirinya manakala rakaman video dibuat oleh ibu mangsa.

Rakaman video itu dibuat sekitar Disember 2015 di sebuah bilik tidur di Jalan Tanjung Selasih, Kampung Mengkubau.

Sekitar Disember 2015, mereka bersetuju untuk mengikat tangan dan kaki mangsa kerana berkelakuan nakal dan tidak mendengar kata apabila dimarahi.

Selepas mangsa diikat menggunakan tali kabel oleh Mohammad Shahiful, ibu mangsa terus membuat rakaman video.

Ibu mangsa tidak membuat apa-apa untuk menyelamatkan anaknya, sebaliknya memarahi mangsa dan ketawa semasa kejadian.

Mohammad Shahiful turut mengaku telah meletakkan mangsa di atas lantai, dan mula memarahinya walaupun mangsa ketika itu menangis berterusan untuk dilepaskan.

Mohammad Shahiful kemudian memukul mangsa di punggungnya dan mencubit pipinya.

Mohammad Shahiful turut meletakkan mangsa di perantaraan katil dan almari pakaian di dalam bilik tidur, dan menuding jarinya pada gigi mangsa di mana mangsa menggigit jari tertuduh sehingga berdarah.

Mohammad Shahiful terus memicit pipi mangsa dengan kuat supaya dia melepaskan gigitannya.

Selepas melepaskan mangsa daripada ikatan, kedua-dua tertuduh menenangkan mangsa sebelum mereka tidur.

Mengenai hak penjagaan mangsa, Hakim Dato Paduka Haji Hairol Arni menyerahkannya kepada pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat untuk memutuskan perihal hak penjagaan sejurus selepas tertuduh dibebaskan dari penjara.

Hakim turut meluluskan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati binti Omar yang membuat permohonan perintah larangan penyebaran pada video selama tiga minit itu kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 95 Akta Remaja dan Kanak-kanak yang antara lain menyatakan mengenai perlindungan identiti kanak-kanak, untuk tidak menyebarkan atau menyebarkan mana-mana perkara yang boleh menyebabkan identiti kanak-kanak itu dikenal pasti.