Kena $8,000 miliki barang seludup

Kena $8,000 miliki barang seludup

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_161117_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Seorang lelaki penduduk tetap dijatuhi denda $8,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan memiliki barang seludup.

Chang Cheng Hoong, 54, mengaku bersalah memiliki 144 tin dan 12 botol minuman keras, sembilan karton rokok, dan 80 kilogram sayap ayam yang tidak diisytiharkan kepada pihak kastam.

Perbuatan defendan yang cuba membawa masuk barang tanpa permit itu terbongkar apabila kereta yang dipandunya ditahan oleh pegawai pemeriksa kastam di Pos Kastam Kuala Lurah, pada 15 November 2016.

Pemeriksaan yang dijalankan menemui minuman keras, rokok dan sayap ayam itu di but kereta.

Defendan yang tidak bekerja itu mengaku membeli kesemua barang itu di Limbang pada harga $661 untuk tujuan dijual kepada rakan-rakannya.

Pegawai Pendakwa Kastam memaklumkan mahkamah bahawa cukai untuk minuman keras dan rokok ialah $714 manakala nilai bagi sayap ayam mengikut pasaran Brunei ialah $560.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli memberi tempoh selama tiga bulan untuk defendan membayar denda dan jika gagal akan berdepan 11 bulan penjara.

Ketua Majistret turut memerintahkan kesemua barang seludup dirampas dan kereta dikembalikan.

ARTIKEL YANG SAMA