Kena buru pukul pembantu rumah

Kena buru pukul pembantu rumah

DHAKA, 7 Sept (AFP) – Polis Bangladesh hari ini berkata mereka memburu untuk menahan pemain kriket kebangsaan, Shahadat Hossain dan isterinya kerana dakwaan memukul pembantu rumah yang berusia 11 tahun di kediaman mereka.

Polis membuat serbuan ke kediaman pembaling bola itu dan isterinya Nritto Shahadat malam semalam selepas pegawai menemui pembantu rumah itu yang cedera dan menangis di sebuah jalan raya di ibu negara Dhaka.

“Beliau mengalami kesan-kesan cedera di mata dan sebahagian tubuhnya. Dia menangis apabila kami menyelamatkannya,” Inspektor polis, Anwar Hossain memberitahu AFP.

“Beliau memberitahu kami dia bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman pemain kriket, Shahadat dan mendakwa pasangan suami isteri itu menyeksanya,” jelas beliau.

Pembantu rumah itu, Mahfuza Akter Happy, yang dilihat mengalami bengkak di mata, mendakwa melalui siaran televisyen Channel 24 malam semalam bahawa pasangan itu memukulnya.

Polis telah menghantar remaja itu ke hospital Dhaka bagi mendapatkan rawatan dan memfailkan kes ke atas pasangan itu yang mendakwa mereka melakukan penindasan ke atas kanak-kanak, kata pegawai polis setempat, Tanvir.

“Kami menyerbu rumah Shahadat malam semalam tetapi tidak menemui mereka. Pagi ini kami meneruskan usaha untuk menahan pasangan tersebut,” Tanvir memberitahu AFP.

Shahadat, yang beraksi dalam 38 Test dan 51 persaingan antarabangsa bagi Bangladesh, tidak beraksi dalam beberapa pertandingan baru-baru ini menentang India dan Afrika Selatan selepas mengalami kecederaan buku lali ketika pertandingan Test menentang Pakistan pada Mei lalu.

Penderaan ke atas pekerja domestik semakin berleluasa di seluruh Asia Selatan.

ARTIKEL YANG SAMA