Kena denda $14,500 miliki rokok seludup

Kena denda $14,500 miliki rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Seorang wanita tempatan dari Kampung Kilanas dijatuhi hukuman denda $14,500 selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki pelbagai jenis rokok seludup, di Mahkamah Majistret, hari ini,

Nikmat Suraine binti Haji Lamat, 46, didakwa memiliki sembilan karton dan 282 paket rokok pada 16 Februari 2015 kira-kira jam 3 petang di rumahnya.

Pemangku Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman turut memerintahkan defendan dipenjarakan 12 bulan jika gagal membayar denda itu yang mana defendan diarahkan untuk membayar secara ansuran sebanyak $500 setiap bulan.

Defendan memberitahu mahkamah, dia terdesak untuk menyeludup rokok itu kerana elaun kebajikan yang diterimanya tidak mencukupi baginya untuk menyara anak-anaknya.

Fakta kes menyebut, pegawai pencegah kastam telah membuat pemeriksaan ke atas rumah defendan pada 16 Februari 2015 sebaik menerima maklumat daripada orang ramai.

Pemeriksaan yang dijalankan menemui pelbagai jenis rokok disimpan di beberapa bahagian dapur rumah tertuduh.

Ketika disoal siasat, tertuduh mengaku kesemua rokok itu kepunyaannya yang dibelinya daripada orang yang dikenali.

ARTIKEL YANG SAMA