Kena sekatan kerana bersekongkol dengan Utara

Kena sekatan kerana bersekongkol dengan Utara

SEOUL, 26 Jun (AFP) – Korea Selatan mengenakan sekatan kewangan ke atas pusat penyelidikan Syria hari ini serta enam individu dan syarikat Taiwan kerana penglibatan mereka dalam perniagaan senjata dengan Korea Utara.

Negara itu sebelum ini telah mengenakan sekatan besar ke atas syarikat yang berpangkalan di Korea Utara, tetapi ini adalah kali pertama langkah sedemikian yang telah diambil ke atas satu kumpulan atau individu di luar semenanjung Korea.

Pusat Kajian Saintifik dan Penyelidikan Syria dan tiga syarikat Taiwan – Global Interface Company Inc, Trans Merits Co dan Trans Multi Mechanics Co – disenaraihitamkan, kata Kementerian Luar Seoul dalam satu kenyataan.

Tiga individu Taiwan, termasuk Tsai Hsein-Tai, Su Lu-Chi dan Chang Wen-Fu, juga diletak dalam senarai hitam, katanya, tanpa mengulas lanjut mengenai ciri-ciri penglibatan mereka.

Sekatan itu melarang individu dan syarikat Korea Selatan daripada menjalankan perniagaan dengan mereka yang disenaraihitamkan.

Pesalah menghadapi hukuman penjara tiga tahun atau denda maksimum 300 juta won.

Di bawah sekatan PBB, Korea Selatan telah menyenaraihitamkan 12 individu dan 20 pertubuhan di Utara dalam beberapa tahun ini, ekoran beberapa siri ujian nuklear dan peluru berpandu yang diadakan sebagai mencabul resolusi antarabangsa.

Korea Selatan mengekal sekatan berasingan berhubung penenggelaman salah sebuah kapal perangnya, Cheonan, pada 2010, yang secara efektif membekukan kesemua perdagangan dan pelaburan dengan Korea Utara.

ARTIKEL YANG SAMA