Kenaikan 3.9% trafik penumpang

Kenaikan 3.9% trafik penumpang

SINGAPURA, 29 Okt (Bernama) – Lapangan Terbang Changi di Singapura mengendalikan 4.42 juta penumpang pada September 2015, kenaikan 3.9 peratus tahun ke tahun, demikian menurut Changi Airport Group (CAG).

Dalam angka terkini yang dikeluarkan hari ini, CAG berkata, pendaratan dan perlepasan pesawat turut berkembang 5.3 peratus kepada 28,460.

Mengenai kargo, 155,100 tan metrik kargo telah diproses bulan lepas, 4.9 peratus lebih tinggi berbanding setahun lalu.

CAG berkata, Lapangan Terbang Changi mencatat 14.3 juta pergerakan trafik penumpang semasa suku Julai-September 2015, pertumbuhan 5.8 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas.

Dirangsang peningkatan penumpang menggunakan syarikat penerbangan kos rendah berikutan tempoh kemerosotan permintaan, ini mewakili trafik tertinggi dicatat Changi dalam satu suku.

Pendaratan dan perlepasan pesawat juga turut berkembang 5.3 peratus kepada 28,460, menurut sumber yang dikeluarkan CAG semalam. – Reuters
Pendaratan dan perlepasan pesawat juga turut berkembang 5.3 peratus kepada 28,460, menurut sumber yang dikeluarkan CAG semalam. – Reuters

Untuk suku berkenaan, trafik adalah positif untuk sembilan daripada 10 pasaran negara Lapangan Terbang Changi dengan China mencatat pertumbuhan paling kukuh, iaitu 14.9 peratus tahun ke tahun.

Bagaimanapun, pergerakan penumpang di antara Singapura dan Indonesia merosot 0.4 peratus walaupun Indonesia kekal pasaran teratas Changi pada tempoh itu, diikuti Malaysia, China, Australia dan Thailand.

Pada sembilan bulan pertama 2015, CAG berkata, 40.9 juta penumpang terbang melalui lapangan terbang itu, naik 2.1 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu.