Kenaikan kadar faedah melegakan

Kenaikan kadar faedah melegakan

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Pengumuman Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, kenaikan pertama dalam tempoh hampir sedekad, melegakan dan menangani ketidaktentuan di peringkat global.

Berita mengenai cadangan menaikkan kadar itu sudah disebut-sebut lebih setahun, dan pengumuman itu tidak mengejutkan pasaran.

Malah, ketidaktentuan itu menyebabkan berlaku turun naik di dunia sebelum keputusan dibuat, dan pengumuman Fed itu akan mengembalikan semula kestabilan.

Pada Mac lepas, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata bank pusat menunggu dasar US kembali ke paras normal memandangkan ketidaktentuan itu mencetuskan turun naik.

Berkongsi pandangan yang sama hari ini ialah Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang berkata: “Memang baik Fed mula mengembalikan dasar monetarinya ke paras normal, dan ini dapat memberikan kita jaminan bahawa ekonomi terbesar dunia itu akan mempunyai kedudukan yang lebih baik andai berlaku kejutan ekonomi.”

Kenaikan pertama kadar faedah Fed sudah dibuat, dan keputusannya sama seperti yang kita jangkakan – suku mata pertama dan pembuat dasar memberi isyarat bahawa peningkatan seterusnya akan dibuat pada asas berperingkat-peringkat.

Ia merupakan kenaikan pertama dalam tempoh lebih sembilan tahun, dengan kadar sebelum ini ditambat pada 0.25 peratus sejak Disember 2008.

Afzanizam berkata pengumuman itu melegakan kebimbangan bahawa Fed tidak akan menaikkan kadar dana persekutuan (FFR) secara agresif.

“Peningkatan agresif tidak dijangkakan memandangkan indeks harga pengguna US meningkat 0.2 peratus tahun ke tahun pada Oktober berbanding sasaran 2.0 peratus.

“Fed hanya menjangkakan kadar inflasi 2.00 peratus dicapai pada 2018,” katanya dan menambah tempoh itu masih jauh terutama berdasarkan kedudukan harga minyak yang kini rendah.

Dalam negara, Afzanizam berkata kemungkinan kesan yang akan dialami ialah kenaikan kadar inflasi.

“Kita mengetahui bahawa harga secara umumnya menurun dan ini boleh memberi kesan penting ke atas sentimen pengguna.

“Ini seterusnya boleh memberi implikasi ke atas perbelanjaan sebenar,” katanya.

Mengenai risiko pengaliran keluar dana, beliau berkata pengaliran keluar lebih ketara dalam pasaran ekuiti manakala pemegangan asing Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) kekal stabil.

“Statistik terbaharu menunjukkan pegangan asing dalam MGS dan GII masing-masing meningkat kepada 47.3 peratus dan 5.5 peratus, pada November daripada 46.3 peratus dan 4.9 peratus pada bulan sebelumnya.

“Eksport Malaysia dan Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi bulan yang sama juga menunjukkan pelarasan dalam pasaran mata wang memberi impak yang baik ke atas industri berorientasikan eksport.

Ini bermakna sektor luaran dapat membantu menyokong pertumbuhan berikutan sentimen pengguna yang semakin lemah, katanya.

“Oleh itu risiko pengaliran keluaran dijangka dapat dibendung memandangkan pertumbuhan ekonomi masih berlaku,” kata Afzanizam.

Dalam reaksi segera ke atas langkah pengukuhan dasar Fed yang sudah pun diambil kira oleh pasaran, ringgit meningkat berbanding dolar US kepada 4.3115/3185 daripada 4.3200/3300 pada Rabu.

Bursa Malaysia juga dibuka tinggi dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI menokok 5.16 mata kepada 1,639.29 berbanding 1,634.13 semalam. – Bernama