Kenal lebih dekat Universiti Monash

Kenal lebih dekat Universiti Monash

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Dalam usaha untuk menggalakkan sistem pendidikan Australia sejajar dengan Brunei dan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara, Universiti Monash Australia mengadakan pameran institut pendidikan tinggi di Hotel Radisson, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat yang turut memberikan ucapan alu-aluan bagi pelajar Brunei di Australia ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer.

Tuan Yang Terutama Todd Mercer mengatakan Universiti Monash merupakan salah sebuah universiti yang terkemuka di Australia dan salah satu tujuan simposium itu adalah untuk memberi pengetahuan kepada pengetua sekolah menengah dan kaunselor dari Brunei, mengenai program-program yang ditawarkan di universiti berkenaan.

“Australia mempunyai sistem pendidikan yang sangat kukuh dan tahap yang anda dapat adalah pasport untuk pekerjaan, selain universiti kami dipandang tinggi dan sangat dihormati,” ujarnya.

“Australia memiliki pelbagai kebudayaan dan kami mempunyai masyarakat Islam yang besar, oleh itu ia adalah sangat mudah untuk mencari restoran yang menghidangkan makanan halal, terutamanya di bandar-bandar yang lebih besar,” katanya.

Tuan Yang Terutama Todd Mercer bergambar ramai bersama mereka yang hadir di majlis yang diadakan di Hotel Radisson.
Tuan Yang Terutama Todd Mercer bergambar ramai bersama mereka yang hadir di majlis yang diadakan di Hotel Radisson.

Sementara itu, di majlis itu juga turut memberi peluang ahli akademik institusi pengajian tinggi seperti Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Institut Teknologi Brunei (ITB), serta wakil-wakil daripada Kementerian Pendidikan Brunei dan Universiti Monash untuk bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan.

Ia juga dibukakan kepada orang ramai, pelajar dan ibu bapa yang berminat untuk melawat dan membincangkan program-program yang sedia ada dengan ahli-ahli fakulti Monash, termasuk Arkitek & Rekaan Seni; Kesenian; Perniagaan & Ekonomi; Pendidikan; Kejuruteraan; Teknologi Maklumat; Undang-undang; Perubatan, Kejururawatan & Sains Kesihatan; Farmasi & Pharmaceutical Sciences; dan Sains.

Menurut wakil dari Universiti Monash, pameran itu turut diadakan di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu dan akhir sekali di Brunei Darussalam.