Kenal pasti isu perikanan

Kenal pasti isu perikanan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Delegasi negara anggota yang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Kelapan Pelan Tindakan Serantau (RPOA) bagi Mempromosi Amalan Penangkapan Ikan Bertanggungjawab Termasuk Memerangi Penangkapan Haram, Tidak Dilapor dan Tidak Dikawal (IUU) di Rantau Asia Tenggara diingatkan supaya berusaha mencapai matlamat utama mesyuarat iaitu mengenal pasti isu, keperluan dan jurang untuk memerangi penangkapan ikan secara haram di perairan masing-masing.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid pada majlis perasmian mesyuarat itu yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pemangku Pengarah Jabatan Perikanan, Haji Halidi bin Mohd Salleh selaku Pengerusi Bersama mesyuarat.

Katanya lagi, mesyuarat tiga hari itu memberi peluang baik bagi mengharmonikan inisiatif setiap negara ke arah memerangi dan memulihara impak penangkapan ikan secara haram dan tidak dikawal terhadap kehidupan marin rantau ini.

“Saya rasakan bahawa perkembangan Pelan Kerja 2015-2016 yang akan dibincangkan pada mesyuarat ini, dan penyemakan kembali Pelan Kerja 2014-2015 adalah penting dalam mengenal pasti bidang-bidang yang memerlukan lebih usaha terutama usaha yang memerlukan kerjasama antara negara anggota dalam kumpulan serantau ini,” ujar beliau.

Haji Halidi bersama delegasi negara anggota yang menghadiri mesyuarat mengenai isu perikanan yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.
Haji Halidi bersama delegasi negara anggota yang menghadiri mesyuarat mengenai isu perikanan yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa mesyuarat itu merupakan platform terbaik untuk merumuskan kerjasama masa depan bagi menangani sebarang isu tertangguh di peringkat serantau.

Mengimbas kembali usaha yang telah diambil oleh Negara Brunei Darussalam, beliau menjelaskan bahawa pada tahun lalu negara ini juga menjadi hos kepada Mesyuarat Laut China Selatan dan Timur Laut China serta Mesyuarat Sub Rantau Laut Sulu-Sulawesi di bawah jawatankuasa kerjasama itu.

Itu sekali gus menunjukkan bahawa negara ini terus komited untuk memerangi penangkapan ikan secara haram dan tidak dikawal, yang begitu penting dalam usaha setiap negara bagi memastikan sumber perikanan yang kekal dan berdaya tahan.

Antara usaha yang telah diambil termasuk melancarkan Deklarasi Perlindungan Kawasan Marin dan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Memerangi Penangkapan Ikan Secara Haram, Tidak Dilapor dan Tidak Dikawal (IUU).

Selain itu, negara ini juga telah melancarkan Deklarasi bagi Pengharaman Penangkapan Ikan Yu dan Pengimportan Produk Berasaskan Ikan Yu 2013 serta Program Pemeliharaan, Pemuliharaan dan Kesedaran Terumbu Karang (CARE) sempena menyambut Hari Laut Sedunia 2014 sebagai satu usaha untuk melindungi dan memelihara terumbu karang sekitar perairan negara ini.

Pelan Tindakan Serantau (RPOA) adalah bagi menggalakkan amalan penangkapan ikan yang bertanggungjawab termasuk memerangi penangkapan ikan yang menyalahi undang-undang, tidak dilaporkan dan tidak dikawal di rantau ini telah disokong oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal perikanan di Pulau Bali, Republik Indonesia pada Mei 2007.

Sebanyak 11 buah negara termasuk Australia, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam termasuk empat pertubuhan perikanan serantau yang menyediakan khidmat nasihat dan bantuan iaitu Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) dan Suruhanjaya Perikanan Asia Pasifik/Pertubuhan Makanan dan Pertanian, InfoFish dan Worldfish Center menyertai mesyuarat berkenaan.

Pada mesyuarat yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan kali ini, Negara Brunei Darussalam diwakili oleh pelbagai agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab dalam memantau keselamatan kawasan perairan negara seperti Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan, Pasukan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei dan Jabatan Perikanan.

ARTIKEL YANG SAMA