Kenal pasti perkembangan profesional guru

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Akademi Guru Brunei Darussalam (BDTA), hari ini, telah mengadakan sesi pertama perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin sekolah kerajaan, yang berlangsung di Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong.

Sesi pertama bagi tahun ini itu adalah bagi pemimpin-pemimpin sekolah Kluster 1, 2 dan 3 dan pemimpin-pemimpin sekolah Arab (Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong).

Antara objektif sesi tersebut diadakan adalah untuk memberi penekanan semula mengenai peranan/fungsi dan sokongan yang disediakan BDTA berkaitan perkembangan profesional guru-guru untuk memenuhi jangkaan pihak sekolah tentang peranan dan tanggungjawab BDTA dan untuk memperkukuhkan dan mengeratkan silaturahim dengan pihak sekolah.

Ketua Kluster 2, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Metusin bin Haji Jais ketika ditemu bual berkata, bukan saja pihak Kluster 2 malahan semua kluster di Negara Brunei Darussalam sebenarnya memang sentiasa bekerjasama dengan BDTA bagi mengenal pasti keperluan-keperluan profesional guru-guru termasuk dengan menilai dan juga mengetahui bentuk-bentuk sokongan dan bantuan kepada guru-guru yang memerlukan.

Di samping itu, tambah beliau, pihak kluster juga mengenal pasti bentuk kemahiran khususnya dalam pembelajaran dan pengajaran.

Haji Metusin (depan, empat kanan) bersama guru-guru lain semasa sesi pertama perjumpaan BDTA bersama pemimpin-pemimpin sekolah kerajaan, yang berlangsung di PTE Sengkurong.
Dr. Norhijrah mengongsikan kursus-kursus yang ditawarkan dan juga cara pendaftaran untuk mengikuti kursus secara online.

Pada sesi tersebut, Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Perkembangan Sumber Tenaga Manusia, Kementerian Pendidikan, Dr. Norhijrah binti Haji Ahmad berkata, BDTA mengongsikan kursus-kursus yang ditawarkan dan juga cara pendaftaran untuk mengikuti kursus secara dalam talian (online). Mengenai pendaftaran kursus-kursus yang ditawarkan, beliau berkata, guru-guru boleh melayari laman sesawang BDTA di bdta.moe.gov.bn.

Terdapat lebih 60 kursus yang ditawarkan di akademi berkenaan dan ia dibahagikan kepada lapan subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Technology Enhanced Learning Environment (TELE) iaitu kumpulan kursus yang berkaitan dengan teknologi dalam pendidikan, pengetahuan agama Islam, General Courses berkaitan dengan pedagogi, sains dan pendidikan khas.

Sesi kedua perjumpaan akan diadakan pada 13 Januari ini bagi pemimpin-pemimpin sekolah Kluster 4, 5 dan 6 serta sekolah-sekolah Arab (Daerah Tutong dan Daerah Belait).