Kenal pasti punca kemalangan jalan raya

Kenal pasti punca kemalangan jalan raya

Oleh Anwar Rosly

Gambar oleh Joffren Omar

KUALA BELAIT, 27 April – Sebagai usaha untuk memperkukuhkan lagi kualiti keselamatan, kesihatan dan persekitaran (HSSE) dengan mempertingkatkan aspek keselamatan jalan raya, Syarikat Joffren Omar dengan kerjasama Syarikat BRUNZ Safety Management Training telah mengadakan program perintis ‘Street Talk Driver Education Training’ selama dua hari bermula hari ini, di sini.

Program yang direka oleh New Zealand Transport Agency (NZTA) dan telah diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Darat itu bertujuan untuk membantu para peserta untuk memahami risiko yang mereka hadapi semasa memandu, selain memberi tumpuan kepada psikologi sebagai faktor utama untuk keselamatan jalan raya,

Perunding dan Pengurus Latihan di Syarikat BRUNZ Safety Management Training, Clifford Santa Maria menjelaskan bahawa program ini direka untuk menjadi lebih interaktif agar mudah difahami.

“Latihan ini membolehkan peserta untuk berkongsi pengalaman, memberi kesedaran kepada yang lain dalam konsep memandu, kerana mempunyai pengalaman yang banyak semasa memandu tidak bermakna pemanduan seseorang pemandu itu adalah selamat,” katanya.

Sesi bergambar ramai bersama penganjur program tersebut.
Sesi bergambar ramai bersama penganjur program tersebut.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan dan Pembelajaran bagi Syarikat Joffren Omar, Gary Young berkata pelan untuk memasukkan keselamatan jalan raya sebagai aspek untuk perkhidmatan latihan HSSE syarikat itu adalah sebagai respon bagi keperluan yang semakin meningkat untuk kesedaran mengenai isu-isu keselamatan jalan raya, di samping untuk mengembangkan lagi portfolio syarikat tersebut untuk lebih terserlah lagi.

Young menambah bahawa beberapa kemalangan yang berlaku sebelum ini di jalan raya boleh dielakkan, jika lebih ramai orang dapat mengenal pasti dan mengurangkan risiko, lebih-lebih lagi dalam keadaan jalan raya yang licin semasa hujan, untuk memandu dengan cara yang lebih selamat.

Keselamatan jalan raya, katanya lagi, adalah tidak asing kepada negara-negara lain, yang juga telah menggubal beberapa dasar dan standard untuk membendung peningkatan kemalangan jalan raya dan kematian di kawasan masing-masing.

“Jadi apa yang kita lakukan sekarang adalah untuk membawa standard keselamatan jalan raya di negara ini,” katanya.

Melihat program perintis ini lagi, beliau berkata kini rancangan itu adalah untuk menawarkan kepada pelanggan korporat, pemandu profesional dan orang awam dengan seberapa segera.

Program ini, katanya, akan menjadi tajuk kursus yang akan muncul dalam senarai syarikat perkhidmatan latihan yang diberikan, dan ia juga akan muncul di laman web syarikat dan bahan-bahan promosi lain yang dikemukakan.

Walaupun masih terdapat beberapa langkah untuk diselidiki, beliau berkata persoalan di sini adalah kemungkinan ianya hanya akan memakan beberapa bulan berbanding tahun sebelum mereka mula memperkenalkan kursus tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA