Kenal pasti setiap kekurangan melalui latihan

Kenal pasti setiap kekurangan melalui latihan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 10 Mei – Tindak balas yang berkesan dalam sesuatu kemungkinan bergantung kepada persediaan dan kesediaan, selain apa yang juga penting adalah penyelarasan komunikasi antara agensi-agensi dilaksanakan dengan baik semasa latihan.

Latihan perlu dilakukan dari semasa ke semasa, dengan itu setiap kekurangan dan kelemahan dapat dikenal pasti, termasuklah dari segi aset, tenaga manusia, proses, penyelarasan dan sebagainya.

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat, semasa ditemui hari ini memberitahu media, kesemua itu hanya boleh ditentukan dengan perlaksanaan latihan terutama yang berbentuk dalam skala yang lebih besar, dan terdapat banyak kawasan untuk dijustifikasikan, bukan hanya tertumpu kepada sebuah kawasan, tetapi perlu dilihat tindak balas keseluruhannya bergantung kepada persediaan dan kesediaan.

Beliau ditemui semasa membuat lawatan di kawasan Pos Pemerintah Insiden, Anduki Mangroves hari ini, untuk melihat penyediaan Latihan Tumpahan Minyak Peringkat Kebangsaan, ‘Exercise Shinning Shore 2016’ diadakan selama dua hari bermula kelmarin.

Latihan tersebut, yang menguji tindak balas kecemasan daripada Brunei Gas Carriers (BGC) dan Brunei LNG (BLNG) dengan sokongan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan agensi-agensi kerajaan di bawah Komiti Pengurusan Pelan Kontingensi Tumpahan Minyak Kebangsaan (NOSCOP MC).

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa, semasa melawat kawasan melibatkan latihan Exercise Shinning Shore 2016.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa, semasa melawat kawasan melibatkan latihan Exercise Shinning Shore 2016.

Ketibaan beliau dialu-alukan oleh Pengarah Urusan Brunei LNG Awang Mohamad Damit, Pengurus Kualiti dan HSSE Brunei Gas Carries Sdn Bhd Haji Mohd Yusof bin mohd Taufik, dan Pengurus HSE BSP Dr Siti Haziah binti POKSM DSP Haji Abidin.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib, Pemangku Pegawai Pemerintah Polis Daerah Belait Supt Ariffin bin Haji Jafaruddin, Pemangku Pengarah Jabatan Laut yang juga Pengerusi NOSCOP MC, Kapten Basza Alexander bin Haji Basri, Pegawai Pemerintah Angkatan Tentera Diraja Brunei Batalion Ketiga Lt Kol Haji Mohammad Shanonnizam Sulaiman dan Pegawai Pemerintah Bomba dan Penyelamat Operasi B Supt Kanan Muhd Sahreeni Yussof.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa juga turut melawat Pusat Rekreasi Brunei Shell untuk menyaksikan Pengurusan Pasukan Insiden di bawah Perintah Bersepadu dan NOS-COP MC, diikuti kemudiannya lawatan ke ibu pejabat Syarikat BSP untuk menyaksikan Pasukan Pengurusan Krisis BSP.

Latihan tersebut adalah untuk menguji persediaan dan tatacara dalam mengurus insiden menggunakan Sistem Perintah Insiden 300 (ICS 300) melalui perintah, kawalan, komunikasi dan integrasi dengan semua tindak balas daripada BSP, BLNG, BGC dan pelbagai agensi kerajaan di bawah organisasi Perintah Unified masing-masing, selain latihan juga memerlukan pengaktifan satu pasukan pengurusan krisis dalam BSP, BLNG dan BGC.

Latihan melibatkan kira-kira 400 orang kakitangan Syarikat BSP, BLNG, BGC dan agensi-agensi kerajaan, termasuk 150 orang untuk membersihkan tepian pantai yang tercemar tumpahan minyak.