Kenali ASEAN lebih dekat

Kenali ASEAN lebih dekat

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Seramai 630 orang pelajar Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM), Mentiri, hari ini, mendengarkan taklimat Jerayawara Kenali ASEAN yang diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar-pelajar sekolah mengenai ASEAN.

Jerayawara anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI itu turut dihadiri oleh pengetua SMPDSM selaku tetamu kehormat.

Turut hadir pada acara yang diadakan di Dewan SMPDSM itu ialah pegawai dan kakitangan dari Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan serta guru-guru sekolah berkenaan.

Taklimat pada jerayawara berkenaan telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Awang Abdul Karim bin Hamdan.

Jerayawara yang diungkayahkan buat kali ke-7 itu bertujuan untuk memberikan pendedahan dan menyalurkan maklumat dengan lebih meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut-penuntut sekolah menengah di negara ini.

Awang Abdul Karim ketika menyampaikan taklimat Kenali ASEAN di SMPDSM.
Awang Abdul Karim ketika menyampaikan taklimat Kenali ASEAN di SMPDSM.
Antara pelajar yang hadir mendengarkan taklimat mengenai ASEAN.
Antara pelajar yang hadir mendengarkan taklimat mengenai ASEAN.

Ini kerana, mereka merupakan golongan belia yang berperanan penting dalam memangkin hala tuju negara dalam mewarnai corak peradaban bangsa bagi membentuk generasi pelapis.

Ia juga diadakan bagi mengenal pasti sejauh mana para penuntut mengetahui mengenai ASEAN dengan menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan para penuntut sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN selaras dengan Moto ASEAN ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’.

Antara yang diketengahkan dalam taklimat itu ialah maklumat mengenai Wawasan 2035 selaras dengan statistik perbandingan Negara Brunei Darussalam di arena serantau.

Pengetahuan tersebut wajar diketahui oleh para penuntut bagi meningkatkan kesedaran tentang perkembangan negara di mata serantau serta menjadi pencetus semangat bagi mereka agar lebih gigih memajukan tanah air bagi merealisasikan Wawasan 2035.

Selain itu, Kuiz Kenali ASEAN juga diadakan sejurus selesai taklimat berkenaan disampaikan.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh tetamu kehormat kepada 10 orang penuntut yang telah berjaya menjawab kuiz tersebut, dan diteruskan lagi dengan cenderahati kepada pengetua SMPDSM.

Jerayawara Kenali ASEAN merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan ASEAN (ASEAN-ness) dalam kalangan para pelajar dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

Dalam masa yang sama, bagi mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya pelajar-pelajar di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA