Kenali bahasa dan budaya Jepun

Kenali bahasa dan budaya Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – Dalam usaha mempromosikan Bahasa Jepun dan peluang-peluang melanjutkan pengajian di Jepun, Kedutaan Besar Jepun di Negara Brunei Darussalam akan menganjurkan Minggu Bahasa dan Kebudayaan Jepun pada 18 hingga 20 Mac ini di The Times Square.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Jepun, The Times Square, Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA), Divisyen Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kementerian Pendidikan dan Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) serta Alumni SSEAYP (BERSATU) di samping pertubuhan lain.

Menurut Kedutaan Jepun, acara itu nanti akan memperkenalkan budaya tradisi Jepun, budaya pop moden serta maklumat mengenai melanjutkan pengajian di Jepun, program-program pertukaran belia yang disokong oleh kerajaan Jepun dan maklumat pelancongan lain.

Acara ini juga bermatlamat untuk mengukuhkan hubungan Brunei dan Jepun.

Pada acara tiga hari itu nanti, pelbagai aktiviti akan diadakan seperti demonstrasi langsung dan petak-petak pameran bagi Manga, Ikebana (seni gubahan bunga tradisi Jepun), masakan Jepun, kaligrafi, origami, memakai Yukata (kimono kasual musim panas Jepun), seni mempertahankan diri, lagu-lagu dan tarian Jepun, kuiz-kuiz serta banyak lagi.

Demonstrasi-demonstrasi dan bengkel Manga akan dikendalikan oleh seorang artis Manga Jepun iaitu Manaru Tenkawa, yang menghasilkan manga dan esei mengenai budaya dan kaligrafi Arab. Beliau juga merupakan pensyarah separuh masa yang mengajar mengenai seni komik di Institut Komputer Nihon.

Pada acara itu, beliau akan melukis dan menunjukkan gambar yang menggabungkan kaligrafi Arab secara langsung.

Selain itu, beliau juga akan mengendalikan bengkel-bengkel mengenai metodologi melukis Manga profesional pada 18 dan 19 Mac bagi 30 orang pemohon bertuah setiap hari. Penyertaan adalah berdasarkan yang dahulu didahulukan. Tenkawa akan mengumumkan pemenang-pemenang dari kedua-dua bengkel dan hadiah-hadiah yang berkaitan dengan manga akan disampaikan semasa majlis penutup pada 20 Mac bagi tempat pertama hingga ketiga.

Manakala itu, demonstrasi Ikebana akan dipimpin oleh seorang pakar Ikebana terkemuka, Risho Saito yang merupakan ahli Persatuan Guru-guru Sogetsu dan merupakan Ketua Cawangan Yamaguchi Sogetsu.

Ini bukanlah kali pertama beliau datang ke Brunei, beliau juga pernah dijemput untuk menyertai acara pada tahun lalu. Dalam acara kali ini, beliau sekali lagi akan menunjukkan tekniknya yang elegan dan mengadakan sesi percubaan bagi mereka yang berminat.

Menumpukan ke atas Bahasa Jepun, beberapa penganjur bersama dan penyokong akan memperkenalkan asas bahasa Jepun, berkongsi pengalaman belajar di Jepun, membentangkan program JENESYS yang ditaja oleh kerajaan Jepun dan memperkenalkan aktiviti-aktiviti kelab Bahasa Jepun.

Di samping itu, rakyat Jepun di Brunei juga akan memperkenalkan kaligrafi Jepun. Pertandingan kaligrafi juga akan diadakan di mana para peserta diminta untuk menulis satu perkataan Jepun menggunakan Hiragana (skrip fonetik asas Bahasa Jepun).

Pemenang pertandingan itu akan diumumkan pada majlis penutup dengan pemenang pertama dan kedua akan menerima kamera digital CANON (IXUS 255 HS) dan jam tangan G-shock.

Lebih menarik, wira Jepun Ultraman juga setuju untuk bekerjasama bagi memeriahkan lagi acara berkenaan.