Kenali budaya dan warisan

Kenali budaya dan warisan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 27 Ogos – Kebanyakan remaja pada masa kini tidak banyak yang tahu mengenai adat dan warisan kebudayaan mereka sendiri, oleh itu, bagi mengekalkan budaya dan adat warisan negara, mereka perlu bergiat aktif dalam mempelajari dan mengenal budaya sendiri agar tidak akan tenggalam ditelan waktu.

Perkara ini ditekankan oleh ketua belia bekas peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) 2014, Haji Mohamad Paizzal bin Haji Piluk ketika ditemu bual semasa Program Pergerakan Kebudayaan Belia di Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SM RIPAS), Tutong, hari ini.

Program yang dianjurkan oleh bekas-bekas peserta SSEAYP 2014 sebagai usaha mengekalkan dan mengenali adat warisan dan budaya tempatan, itu diadakan di empat buah sekolah terpilih dari setiap daerah dan hari ini, ia diadakan di SM RIPAS.

Melalui program tersebut, Haji Mohamad Paizzal menjelaskan, beberapa aktiviti dijalankan untuk para pelajar seperti bengkel tarian tradisional iaitu tarian aduk-aduk, bengkel menapih sinjang dan dastar serta kuiz.

Antara aktiviti yang dijalankan dalam program Pergerakan Kebudayaan Belia di Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Tutong, kelmarin.
Antara aktiviti yang dijalankan dalam program Pergerakan Kebudayaan Belia di Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Tutong, kelmarin.
Haji Mohamad Paizzal mengongsikan pandangannya mengenai belia dan budaya.
Haji Mohamad Paizzal mengongsikan pandangannya mengenai belia dan budaya.

Dengan membawa slogan ‘Memperkenalkan Semula Budaya Kepada Anda,’ bekas peserta kapal belia berkenaan pernah mengadakan program tersebut di Pusat Tingkatan Enam Meragang dan akan meneruskannya ke Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong dan Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah, Kuala Belait.

Haji Mohammad Paizzal menjelaskan program tersebut telah mendapat sambutan dan respon positif daripada guru-guru dan para pelajar, serta menyuarakan harapan agar para pelajar akan dapat mempelajari dan dapat memperkenal adat warisan dan budaya negara kepada kawan-kawan atau orang luar.

Program Pergerakan Kebudayaan Belia merupakan kesinambungan daripada Festival Pergerakan Kebudayaan Belia yang pernah diadakan di Taman Jubilee, baru-baru ini, dan merupakan salah satu aktiviti program Bekas Peserta SSEAYP ke-41.

ARTIKEL YANG SAMA