Kenali budaya masyarakat Kampong Ayer

Kenali budaya masyarakat Kampong Ayer

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Hasil Perolehan Penyelidikan Sejarah Kampong Ayer 2016 yang dilaksanakan oleh lebih 60 orang mahasiswa-mahasiswi Universiti Brunei (UBD) Darussalam telah diserahkan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei di sini, hari ini.

Hasil penyelidikan berkenaan telah diserahkan kepada Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Awang Hanafi bin Haji Salleh yang kemudiannya menyerahkannya kepada Pengarah Akademi Pengajian Brunei (APB), Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah selaku tetamu kehormat majlis.

Projek Penyelidikan Sejarah Kampong Ayer anjuran Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama APB UBD itu melibatkan 10 orang Pegawai Pusat Sejarah Brunei yang bertindak sebagai penyelia dan 66 orang mahasiswa-mahasiswi Modul PB-1301 Masyarakat dan Budaya Brunei yang ditawarkan oleh APB, UBD.

Ia merupakan projek penyelidikan kali kedua dengan kali ini mengkaji lima buah kampung iaitu Kampung Setia, Kampung Lurong Sikuna, Kampung Burung Pingai, Kampung Sumbiling dan Kampung Sungai Kedayan.

Awang Hanafi (dua kiri) menyerahkannya Hasil Perolehan Penyelidikan Sejarah Kampong Ayer 2016 kepada Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim.
Awang Hanafi (dua kiri) menyerahkannya Hasil Perolehan Penyelidikan Sejarah Kampong Ayer 2016 kepada Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim.

Projek penyelidikan yang pertama telah dijalankan tahun lepas dengan memfokuskan Kampung Sungai Liang, Mukim Liang, Daerah Belait sebagai lokasi kajian.

Projek berkenaan mengambil masa dua bulan untuk dilaksanakan sejak bulan Februari lalu, yang mana ia dimulakan dengan bengkel kaedah Penyelidikan Sejarah, yang merangkumi tajuk berkaitan dengan kaedah penyelidikan, kaedah transkripsi dan deskripsi, format penerbitan dari bahagian penerbitan dan juga kaedah penggambaran semasa membuat penyelidikan.

Para mahasiswa-mahasiswi yang terlibat kemudian turun ke lokasi kajian dan berjaya mengumpul hasil perolehan penyelidikan yang juga telah didokumentasikan dalam bentuk penulisan akademik sejarah.

Resolusi keseluruhan projek itu telah menepati tujuan utama iaitu mengumpul dan mendokumentasikan fakta-fakta sejarah termasuk bahan-bahan berbentuk sejarah lisan, dokumen, gambar, kebendaan serta masyarakat, budaya dan sosioekonomi di Kampong Ayer.

Selain itu, penyelidikan turut memberikan pendedahan dan pengalaman kepada mahasiswa-mahasiswi dalam menjalankan penyelidikan mengikut kaedah-kaedah yang lebih teratur dan bersistematik.

Pensyarah di APB, Dayang Noralipah binti Haji Mohamed dalam ucapannya berkata, melalui penyelidikan ini, beberapa objektif turut dicapai seperti mengenal pasti dan mengekalkan serta memartabatkan sejarah sesebuah mukim atau kampung sebelum pupus, menjadikan hasil perolehan sebagai bahan rujukan dan kajian untuk pengkaji, penulis, peminat dan pelajar sejarah.

Tambahan lagi, ia dapat menjalinkan hubungan kerjasama antara Pusat Sejarah Brunei dan APB khususnya dan UBD amnya di samping mewujudkan hubungan antara mahasiswa-mahasiswi dengan penduduk mukim dan kampung dalam perkongsian maklumat melalui penyelidikan sejarah, masyarakat, budaya dan sosioekonomi kampung yang dikaji.

“Secara keseluruhan, projek penyelidikan ini telah memberikan ruang kepada semua mahasiswa-mahasiswi untuk mengaplikasikan segala konsep dan teori masyarakat dan budaya ke dalam kehidupan sebenar.

Selain menyelidik, para mahasiswa-mahasiswi diberikan penekanan terhadap penulisan hasil penyelidikan dan ia dapat dimanfaatkan ke dalam modul-modul lain pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Manakala itu, Haji Mohd Ardini bin Haji Rias selaku wakil mahasiswa-mahasiswi UBD berkongsi pengalaman beliau yang mana rombongan diberi kepercayaan untuk menyelidik sejarah warisan, sosiobudaya dan sosioekonomi di Kampong Ayer.

Menurutnya, pelbagai pengalaman dan kenangan diperolehi sewaktu penyelidikan, antaranya berjumpa dan menemu bual informan yang menceritakan kisah-kisah kehidupan orang-orang dahulu yang tidak terlintas dalam fikiran, seperti mengambil air untuk kehidupan seharian.

Jika dibayangkan, katanya, betapa penatnya pekerjaan tersebut dan ada kalanya pekerjaan mengambil air itu terpaksa dilakukan dua tiga kali sehari.

Beliau berharap penyelidikan seperti ini akan diperluaskan lagi ke kampung-kampung lain, supaya asal usul dan khazanah warisan setiap kampung dapat diterokai dan didokumentasi sebagai rujukan generasi akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA