Kenali budaya Turki

Kenali budaya Turki

Oleh Aziz Idris

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Dua cef telah didatangkan khas dari Turki untuk menyediakan lebih 40 hidangan daripada kebab, baklava, gozlemes sehingga manti (puding) dalam Pesta Kebudayaan dan Masakan Turki yang telah dilancarkan kelmarin, di Hotel Radisson, di sini, dan berlangsung sehingga 8 November ini.

Perasmian pesta yang pertama kali diadakan anjuran bersama Kedutaan Republik Turki dan Hotel Radisson itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong.

Menurut Duta Besar Republik Turki ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Fikret Oguz Ates, pesta itu juga akan memperkenalkan ‘ney’ (seruling tradisi) Turki dan salah satu instrumen tertua yang masih digunakan.

Selain itu, pelanggan yang menikmati hidangan di hotel tersebut akan berpeluang menyaksikan teknik seni ‘Ebru’, yang mana corak berwarna-warni dihasilkan dengan cat atau pencelup di atas air yang berminyak, sebelum ditukar ke atas kertas.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bersama isteri serta Tuan Yang Terutama Fikret Oguz Ates (kanan).
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bersama isteri serta Tuan Yang Terutama Fikret Oguz Ates (kanan).
Pelanggan yang menikmati hidangan berpeluang menyaksikan teknik seni Turki, Ebru (melukis di atas air).
Pelanggan yang menikmati hidangan berpeluang menyaksikan teknik seni Turki, Ebru (melukis di atas air).
Para pelanggan boleh menikmati lebih 40 hidangan dan pencuci mulut yang dihasilkan istimewa dari cef Turki.
Para pelanggan boleh menikmati lebih 40 hidangan dan pencuci mulut yang dihasilkan istimewa dari cef Turki.

Sebuah filem Turki, ‘Last Letter from Gallipoli’ juga akan ditayangkan di Teater The Core, Universiti Brunei Darussalam (UBD), sebagai sebahagian daripada pesta tersebut.

Tayangan itu adalah bagi meraikan 100 tahun Kempen Gallipoli, yang disambut pada 25 April yang lalu.

Pesta itu juga akan diadakan di Library Café, di mana pelanggan boleh menikmati kopi popular Turki, sambil menyaksikan buku-buku mengenai budaya Turki dan laman-laman sesawang pelancongan Turki.

Sementara itu, mereka yang memilih bufet akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah dalam cabutan bertuah, seperti tiket penerbangan untuk dua orang ke Dubai, yang disediakan oleh Penerbangan Diraja Brunei (RB), tiket pergi balik untuk seorang ke Jakarta, dan tiket pergi balik untuk seorang ke Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA