Kenali fungsi industri Agrimakanan

Kenali fungsi industri Agrimakanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Bagi memberigakan peranan dan fungsi Bahagian Industri Agrimakanan serta perkhidmatan-perkhidmatan dan unit di bawahnya, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan akan mengadakan jerayawara 12 September ini di Dewan Serba Guna Kompleks Utama Bumiputra Bangar, Temburong.

Menurut kenyataan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, jerayawara ini merupakan salah satu usaha pihak jabatan untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai Bahagian Industri Agrimakanan kepada pengusaha makanan tempatan khasnya dan orang ramai amnya.

Jerayawara tersebut dikhaskan bagi para pengusaha agrimakanan yang berasal dari Daerah Temburong.

Memandangkan terdapat beberapa perubahan mengenai tatacara dan prosedur bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan, para pengusaha berdaftar disarankan untuk hadir ke jerayawara berkenaan untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Antara kandungan program jerayawara berkenaan termasuk sesi soal jawab, yang akan diadakan selepas taklimat daripada ketua-ketua unit di bahagian tersebut.

Para pengusaha makanan dan minuman yang belum berdaftar juga dialu-alukan hadir untuk mendengarkan taklimat, seterusnya mendaftar dengan mengisikan borang pendaftaran dan menyertakan salinan kad pengenalan serta lesen perniagaan syarikat.

Pengusaha-pengusaha yang berdaftar di bawah bahagian itu akan mendapat manfaat seperti khidmat nasihat mengenai aspek-aspek industri agrimakanan, berpeluang mendapatkan perkhidmatan teknikal termasuk perkhidmatan makmal-makmal yang terdapat di Bahagian Industri Agrimakanan dan bermacam-macam lagi.

ARTIKEL YANG SAMA