Kenali gejala kanser payudara

Kenali gejala kanser payudara

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 22 Okt – Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, Pusat Kesihatan Panaga telah menganjurkan kempen bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai risiko dan bahaya kanser payudara, yang berlangsung di Ruang Teater Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), Seria, hari ini.

Kira-kira 150 orang wanita dan para jemputan khas termasuk Ketua Pegawai Perubatan di Pusat Kesihatan Panaga, Dr. Haji Ahmad Fakhri bin Dato Paduka Haji Junaidi menghadiri kempen berkenaan yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Kanser Brunei dan OGDC.

Ia memfokuskan kepada pengenalan dan cara-cara untuk mengenali gejala-gejala kanser payudara sebelum ia merebak ke seluruh tubuh badan.

Antara atur cara kempen adalah taklimat oleh Pakar Perunding Onkologi di Pusat Kanser Brunei, Dato Seri Laila Jasa Dr. Babu Sukumaran serta salah seorang bekas pesakit kanser payudara, Dayang Evelyn Yew.

Dato Seri Laila Jasa Dr. Babu Sukumaran (dua, kiri) ketika bergambar ramai bersama beberapa kakitangan dari Pusat Kanser Brunei.
Dato Seri Laila Jasa Dr. Babu Sukumaran (dua, kiri) ketika bergambar ramai bersama beberapa kakitangan dari Pusat Kanser Brunei.
Antara kakitangan dari Pusat Kanser Brunei ketika memberikan mesej mengenai Kempen Bulan Kesedaran Kanser Payudara.
Antara kakitangan dari Pusat Kanser Brunei ketika memberikan mesej mengenai Kempen Bulan Kesedaran Kanser Payudara.

Kempen yang turut disokong oleh ‘The Generate Team’ ini adalah untuk memberikan pengetahuan dan mewujudkan kesedaran mengenai kanser payudara dalam kalangan warga Syarikat-syarikat Usaha Sama Brunei Shell (BSJV) serta orang ramai secara amnya.

Ramai yang belum menyedari bahawa punca utama kematian akibat kanser dalam kalangan wanita di negara ini adalah daripada kanser payudara dan trend ini telah meningkat sejak 10 tahun yang lalu.

Statistik dari Kementerian Kesihatan juga menunjukkan bahawa kebanyakan pesakit kanser payudara di negara ini adalah dalam lingkungan umur 40 dan 50-an, yang mana 10 tahun lebih muda daripada wanita-wanita di dunia barat.

Malah wanita dalam usia muda 20-an juga berisiko untuk mengalaminya, justeru itu, para wanita dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat pakar dan membuat pemeriksaan sendiri ke atas payudara mereka dalam masa tertentu.

Selain daripada sesi ceramah dan demonstrasi tentang bagaimana untuk melakukan pemeriksaan payudara sendiri, orang ramai juga berpeluang membuat pemeriksaan payudara secara percuma yang dikendalikan oleh seorang jururawat penjagaan payudara dari Pusat Kanser Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA