Kenali ibu kota Brunei Tua

Kenali ibu kota Brunei Tua

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Negara Brunei Darussalam kini melakar lagi sejarah baru dengan pembinaan Taman Arkeologi Kota Batu, yang merupakan taman arkeologi pertama dibina di negara ini, bertempat di Kampung Kota Batu, Mukim Kota Batu.

Majlis pelancaran bagi taman terbaru ini akan diadakan pada esok hari, 11 Ogos, di Pusat Informasi Taman Arkeologi Kota Batu dan akan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Pengarah Muzium-muzium, Pengiran Dr Karim bin Pengiran Haji Osman berkata, Kota Batu merupakan tapak arkeologi yang penting di negara ini dan dipercayai tapak ibu kota Brunei Tua pada abad ke 14-17.

“Tapak Kota Batu ini mula mendapat perhatian pakar-pakar sejarah dan arkeologi sejak tahun 1950an dan berterusan sehingga sekarang dan kepentingan tapak ini telah mendorong pewartaan tapak ini pada tahun 1967 dibawah Akta Barang-barang Purbakala dan Harta Terpendam 1967, semakan 1984, 1991, 2002,” katanya pada satu sidang media di Pusat Informasi Taman Arkeologi Kota Batu hari ini. Turut hadir ialah Kurator Arkeologi, Dayang Aminah binti Haji Majid. Menurut Pengiran Dr Karim lagi, seluas 120 ekar atau 48.6 hektar telah diwartakan yang merangkumi tiga zon utama iaitu kawasan tebing sungai, kawasan tanah datar dan kawasan bukit.

Kira-kira 70 peratus tapak Kota Batu ini masih dikekalkan, manakala selebihnya digunakan bagi pembinaan infrastruktur, antaranya Bangunan Muzium Brunei, Muzium Teknologi Melayu, Bangunan Arkeologi dan Pemuliharaan, Bengkel Kapal Karam Brunei dan Muzium Maritim Brunei.

Pengiran Dr Karim dan Dayang Aminah semasa sidang media mengenai pelancaran Taman Arkeologi Kota Batu.
Pengiran Dr Karim dan Dayang Aminah semasa sidang media mengenai pelancaran Taman Arkeologi Kota Batu.

Katanya, kepentingan Kota Batu telah mendapat perhatian pihak kerajaan dan dua peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) telah diluluskan bagi memajukan tapak ini. Dua peruntukan tersebut ialah RKN ke-8 sebanyak $500,000 dan RKN ke-9 sebanyak $2 juta.

“Taman Arkeologi Kota Batu ini adalah sangat unik kerana orang ramai bolehlah berkunjung dan beriadah sambil mendapatkan ilmu pengetahuan mengenai dengan tapak-tapak arkeologi yang ada di taman ini.”

Menurut beliau lagi, antara kemudahan-kemudahan yang disediakan bagi taman ini ialah pusat informasi, tempat pejalan kaki yang menghubungkan di antara satu tapak ke tapak yang sepanjang 1580 meter, pondok rehat dan jambatan penghubung ke Pulau Tarindak sepanjang 90 meter.

Menurut beliau lagi, tempat pejalan kaki ini juga dihubungkan terus ke Muzium Maritim Brunei. Manakala itu, di sepanjang tempat pejalan kaki, beberapa buah tapak arkeologi akan ditemui antaranya ialah seperti perkuburan lama termasuk dua Makam Diraja, tapak Kompleks Kota Batu I dan Kota Batu II, Tembok Tanah dan Pulau Tarindak.

Taman Arkeologi Kota Batu ini akan dibukakan setiap hari kepada orang ramai bermula pada jam 9 pagi sehingga 5 petang.