Kenali industri agrimakanan

Kenali industri agrimakanan

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 13 Sept – Dalam memberigakan peranan dan fungsi Bahagian Industri Agrimakanan serta perkhidmatan-perkhidmatan dan unit di bawahnya, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) telah mengelolakan jerayawara yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar, di sini, kelmarin.

Jerayawara yang memfokuskan kepada pengusaha agrimakanan di daerah ini itu, disertai seramai 19 orang pengusaha yang diharap dapat dibantu untuk terus maju dan berdaya saing yang kemudiannya dapat menyumbang kepada ekonomi negara seterusnya membangunkan industri agrimakanan ke tahap yang lebih maju.

Dalam jerayawara berkenaan, Bahagian Industri Agrimakanan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KPSSU turut menyeru kepada pengusaha makanan dan minuman yang belum berdaftar untuk berbuat demikian dengan mengisikan borang serta menyertakan salinan kad pengenalan dan lesen perniagaan syarikat.

Dengan mendaftar di bawah Bahagian Industri Agrimakanan, para pengusaha agrimakanan akan diberikan khidmat nasihat mengenai aspek-aspek industri serta berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan teknikal seperti perkhidmatan makmal-makmal yang terdapat di bahagian berkenaan.

Pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan ketika memberikan penerangan di jerayawara tersebut.
Pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan ketika memberikan penerangan di jerayawara tersebut.
Antara yang hadir pada jerayawara tersebut.
Antara yang hadir pada jerayawara tersebut.

Selain itu, mereka juga boleh menyertai Program Lawatan ke Inkubator Makanan Perusahaan Kecil dan loji perintis serta makmal-makmal yang ada, di samping berpeluang menyertai kursus dan bengkel dalam bidang pemprosesan serta pembungkusan produk makanan.

Jerayawara berkenaan merupakan salah satu usaha pihak jabatan untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai bahagian berkenaan kepada pengusaha makanan tempatan khasnya dan orang ramai amnya.

Ia diakhiri dengan sesi soal jawab bersama ketua-ketua unit Bahagian Industri Agrimakanan dengan para pengusaha yang hadir.

ARTIKEL YANG SAMA