Kenali kebudayaan masyarakat China

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Delegasi seramai 12 orang penuntut dan dua orang pensyarah dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai masyarakat dan budaya China melalui program lawatan ke China, Discovery Trip to China, selama 10 hari.

Delegasi dari UBD yang diketuai oleh Pengarah Pusat Bahasa, UBD, Dr. Yabit bin Alas telah berlepas ke China, hari ini, di mana semasa lawatan hingga 15 Disember itu, mereka akan berkunjung ke tiga buah bandar di Wilayah Fujian, Republik China iaitu Xiamen, Quanzhou dan Fuzhou.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlepas dan memberikan kata-kata nasihat kepada delegasi berkenaan ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian.

PYT Yang Jian (tujuh dari kiri) dan Dr. Yabit (tujuh dari kanan) bergambar-ramai dengan delegasi yang terdiri daripada pensyarah dan penuntut UBD yang menyertai Program Discovery Trip to China selama 10 hari sebelum berlepas ke China.

Lawatan delegasi UBD ke Republik Rakyat China berkenaan mendapat sokongan daripada Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam. Semasa lawatan berkenaan, delegasi akan mengadakan lawatan ke Universiti Xiamen dan Universiti Normal Fujian di mana mereka akan berinteraksi dengan guru-guru serta penuntut-penuntut China.

Mereka juga dijadualkan untuk mengadakan lawatan ke pangkalan keusahawanan penuntut universiti dan perusahaan-perusahaan teknologi tinggi, menyertai pelbagai kegiatan termasuk Majlis Perasmian Pesat Kesenian Laluan Sutera Maritim Antarabangsa ke-3 dan Karnival Laluan Sutera Maritim Quanzhou serta mengadakan lawatan ke tempat-tempat menarik dengan kebudayaan dan bersejarah.

Program Discovery Trip to China merupakan program pertukaran tahunan yang penting di antara penduduk Brunei dan China di mana pada Mei dan Disember 2017 lalu, dua kumpulan penuntut dari Brunei telah mengadakan lawatan ke Beijing, Shanghai, Nanjing, Shenzhen dan Guangzhou.