Kenali kerjaya bidang perundangan

Kenali kerjaya bidang perundangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Sekumpulan peguam dari Pejabat Peguam Negara, baru-baru ini, telah mengadakan lawatan ke Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) bagi sesi kerjaya mengenai profesion undang-undang.

Inisiatif tersebut merupakan sesi kali kedua diadakan yang dianjurkan bersama oleh Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Kerjaya JIS, berikutan kejayaan pada sesi pertama yang diadakan pada Mac tahun lalu.

Seramai 20 pelajar yang berhasrat untuk mempelajari bidang undang-undang pada masa hadapan diberikan bimbingan daripada sekumpulan peguam dari Pejabat Peguam Negara yang terdiri daripada Christopher Ng, Vuina Song, Tracy Valencia Lai, Dayang Siti Khalillah binti Haji Hussin dan Dayang Rabiqah Natasha Halim binti Mohd Yusof.

Semasa pertemuan tersebut, para pelajar juga diberikan peluang mengajukan pelbagai soalan, yang antara lainnya mengenai permohonan untuk menjadi peguam, keseimbangan kehidupan kerja dan etika yang terbabit serta kemahiran yang diperlukan dalam profesion tersebut.

Para pelajar juga diseru untuk mengambil kesempatan ke atas peluang penempatan kerja yang ditawarkan dalam industri guaman Brunei Darussalam, seperti Pejabat Peguam Negara dan firma guaman swasta demi mendapatkan pengalaman dan merasai sendiri kerja sebenar bagi seorang peguam.

Russell Mann ketika memberikan penerangan semasa sesi pertemuan tersebut.
Russell Mann ketika memberikan penerangan semasa sesi pertemuan tersebut.
Antara pelajar JIS semasa pertemuan bersama para peguam.
Antara pelajar JIS semasa pertemuan bersama para peguam.

Menurut Dekan Pengajian Tinggi JIS, Russell Mann, tiada cara yang lebih baik untuk mendapatkan maklumat kerjaya mengenai peguam selain daripada mengadakan pertemuan secara langsung bersama mereka.

“Inilah sebabnya kenapa peluang unik seperti ini adalah amat penting, khususnya untuk pelajar Tahun 12 yang ingin membuat permohonan mereka,” jelasnya.

Beliau menjelaskan lagi bahawa lawatan tersebut juga adalah bagi membantu pelajar dan ibu bapa untuk membuat keputusan berdasarkan fakta dan penyelidikan mengenai universiti yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan-keperluan pelajar dan keluarga mereka.

“Sesi seumpama ini bukan sahaja memberikan pelajar peluang untuk mengetahui lebih tentang profesion tersebut, tetapi boleh membawa kepada penempatan kerja yang bernilai yang sama ada diterima atau ditolak untuk mengikuti kursus universiti.”

ARTIKEL YANG SAMA