Kenali keunikan warisan kitani

Kenali keunikan warisan kitani

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 4 Nov – Taman Rekreasi Sungai Basong mempunyai potensi sebagai pusat kebudayaan dan warisan masyarakat Daerah Tutong dengan kedudukannya yang strategik dan ditambah lagi dengan landskap yang menarik serta kemudahan-kemudahan yang sedia ada.

Oleh itu, Hari Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong telah dilancarkan di taman rekreasi berkenaan, baru-baru ini, bagi memberikan pengetahuan tentang warisan, kesenian dan kebudayaan lima etnik masyarakat Daerah Tutong iaitu Puak Tutong, Puak Kedayan, Puak Dusun, Masyarakat Iban dan Tiong Hua.

Menurut salah seorang sukarelawan yang bertugas menjaga Rumah Etnik Masyarakat Kedayan, Haji Sisa Nayan yang berasal daripada Puak Kedayan Lamunin menjelaskan, program ini perlu diteruskan lebih-lebih lagi untuk mengenalkan masyarakat setempat khususnya anak-anak muda untuk melihat lebih dekat rumah-rumah orang dahulu.

“Selain dapat (mendapatkan pengalaman) dan mengenal jenis-jenis rumah bagi beberapa puak yang terdapat di negara ini, orang muda kitani akan lebih mengenali sedikit alat-alat yang terdapat dalam rumah etnik di Daerah Tutong ini yang mempunyai keunikan warisan dan budaya yang tersendiri,” jelas Haji Sisa.

Keunikan ini, tambah beliau, dapat dilihat pameran seperti alat-alat orang lepas bersalin seperti Kalangkapa (tempat orang lepas beranak dan berdiang), Belitang (tempat memasang api dan untuk memanaskan api), Kuyutan (buaian anak kecil), pameran barang-barang yang pernah digunakan seperti pemarang, kait (peralatan menebas hutan untuk bertanam padi), peralatan untuk mengambil air dipanggil ‘Pelaingan’, tambak dan banyak lagi.

Para pengunjung juga berkesempatan belajar menyumpit di rumah Etnik Masyarakat Iban.
Para pengunjung juga berkesempatan belajar menyumpit di rumah Etnik Masyarakat Iban.
Haji Sisa bersama isteri bergambar di hadapan rumah Puak Kedayan di Daerah Tutong.
Haji Sisa bersama isteri bergambar di hadapan rumah Puak Kedayan di Daerah Tutong.

Beliau menyatakan harapan agar program yang dijalankan selama sebulan ini akan dapat menarik perhatian orang ramai dan mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya anak-anak sekolah yang tidak lama lagi habis waktu peperiksaan dan mengambil peluang untuk melawat ke kawasan tersebut.

Sementara itu, ada pengunjung yang datang ke sana semata-mata untuk mengenali jenis-jenis herba yang ditanam dan dipamerkan di kawasan tersebut, seperti yang dikongsikan oleh salah seorang pengunjung warga emas dari Kampung Layong, Hajah Shamsiah binti Pendek.

Menurutnya, beliau mengambil kesempatan membawa anaknya mengunjungi Taman Rekreasi Sungai Basong untuk mencatat nama-nama daun herba dan khasiat yang dipamerkan di kawasan tersebut.

Ini kerana beliau suka menanam daun-daun herba untuk mengamalkan pemakanan herba demi menjaga kesihatan dirinya yang sudah pun lanjut usia, ujarnya.

Hari Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong merupakan program anjuran bersama Majlis Perundingan Mukim Pekan Tutong, Majlis Perundingan Mukim Keriam bersama Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi Tutong serta Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

Program yang julung-julung kalinya diadakan ini akan berjalan selama sebulan sehingga 29 November 2015.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan berkunjung ke acara di Taman Rekreasi Sungai Basong itu yang dibuka pada setiap Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad, dari jam 9 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 5 petang dengan bayaran tiket sebanyak $5 untuk orang dewasa, $3 untuk Kanak-kanak berumur lima hingga 12 Tahun, dan $3 untuk pelajar (minima 6 Kumpulan).

ARTIKEL YANG SAMA